Artikel Pilihan

TANDAS TOYOTA? BERAPA HP NI? – SIAP ADA LOGO GR TU BOH

Mesti ada yang tersenyum dan tak kurang yang tergelak terus bila tengok Toyota buat tandas. Sebenarnya ini projek serius yang diusahakan oleh Toyota sejak tiga tahun lepas. Korang suka ke guna tandas awam yang kotor? Itu belum kira kesukaran yang dialami oleh golongan kelainan upaya untuk menggunakan sesetengah tandas. Toyota ada penyelesaiannya dan semestinya ia lebih bergaya.

Projek ini bermula seawak tahun 2019. Kakitangan Toyota Vison Design Division telah diberikan satu tugas khas untuk merekabentuk tandas. Ia bukannya versi bajet seperti biasa kita lihat. Mana cukup dengan rekaan ala almari plastic dengan logo Toyota.

Rekaan tandas tersebut mestilah mudah alih dan mesra OKU khususnya pengguna kerusi roda. Setakat ni mana ada lagi rekaan tandas mudah alih yang mesra OKU kan?

Hasilnya lahirlah rekaan yang dapat anda lihat dalam gambar-gambar ini. Prototaip ini sepatutnya diuji di Sukan Olimpik Tokyo 2020 tetapi terpaksa ditunda akibat ancaman COVID-19 ketika itu. Ia mempunyai beberapa berbeza berbanding tandas biasa contohnya kedudukan mangkuk tandas yang lebih tinggi untuk keselesaan pengguna dengan ketinggian badan yang berlainan.

Pemegang tangan dipasang untuk memudahkan pengguna kerusi roda membuat pusingan 360 darjah. Dalaman diserikan dengan cat berwarna cerah manakala lantainya digelapkan supaya tidak tercalar akibat pusingan tayar kerusi roda. Permukaan lantai juga direka agar sedikit kesat untuk keselamatan.

Rekaan asal tandas ini sebenarnya membolehkannya bergerak sendiri secara autonomi tapi kemudian mereka memutuskan untuk menggunakan konsep trailer yang kurang kompleks. Tapi ia bukannya dihasilkan dengan secara caca merba.

Tandas ini mesti ringan supaya tidak perlu menggunakan lesen khas ataupun permit untuk bergerak di jalan raya. Untuk itu Toyota menggunakan teknologi busa yang dimasukkan antara dia lapisan logam seperti pembuatan peti sejuk. Sistem bekalan air juga mengambil ilham daripada sistem yang digunapakai oleh keretaapi peluru Jepun untuk menjimatkan penggunaan air.

Menurut Toyota Times, penambahbaikan masih dilakukan pada rekaan tandas ini. Ia turut digunakan pada perlumbaan WRC 2022 di Jepun dan antara mereka menerima cadangan supaya tandas ini dilengkapi pintu gelongsor automatik sistem kunci yang lebih mudah.

Mungkin ada yang rasa kelakar bila tengok logo Toyota Gazoo Racing pada tandas ini tapi bagi kami yang selalu terpaksa mengikuti acara luar seperti perlumbaan dan rali, ia memang satu rahmat. Dah sakit perut memulas sampai nak tercirit baru tahu kelakar ke tak kelakar.

Google ads
Back to top button