Buletin

FESTIVAL TGR 2021 BERSKALA LEBIH BESAR. TAWAR HADIAH BERNILAI RM420K!

Musim Keempat Festival Toyota Gazoo Racing akan bermula pada Januari 2021. Ia bakal menampilkan pembaharuan yang melibatkan tiga siri perlumbaan, 11 perlumbaan menakjubkan dengan jumlah hadiah tunai terkumpul bernilai RM420,000.

Sebagai lanjutan kepada kejayaan musim-musim sebelumnya, musim keempat terus diterajui oleh Vios Challenge sebagai acara utama. Di samping pengenalan Gazoo Racing Vios Sprint Cup dan Gazoo Racing Enduro Cup (perlumbaan endurans).

Vios Challenge akan menampilkan tiga pusingan keseluruhannya dengan enam perlumbaan. Sementara GR Vios Sprint Cup bakal menyaksikan dua pusingan dengan total empat perlumbaan. GR Enduro Cup pula akan berlangsung seiringan dengan Perlumbaan Endurans Sepang 1,000 KM.

Dalam tiga musim Vios Challenge terdahulu, seramai tiga juta penonton telah menyaksikan perlumbaan itu dari dalam talian. Ia juga berjaya menarik kehadiran kira-kira 215,000 orang bagi semua 11 penganjurannya setakat ini.

TGR/VIOS CHALLENGE

Vios Challenge akan terus kekal dengan format one-make race melibatkan empat kelas perlumbaan: kelas Promotional untuk selebriti; Super Sporting untuk pemandu profesional; Sporting untuk pemandu baru dan amatur serta Rookie yang baru diperkenalkan, untuk pemandu muda.

Dalam Kelas Promotional, pelakon Shukri Yahaya akan mengepalai barisan selebriti yang turut disertai oleh Janna Nick, penyampai Nabil Ahmad dan penyanyi seperti Wani Hasrita, Nabila Razali dan Khai Bahar.

Mereka akan disertai oleh tiga pendatang baru iaitu pelakon Zizan Razak, penyanyi/penulis lagu Talitha dan personaliti TV Ahirene Ahirudin.

Kelas Sporting pula akan disertai tidak kurang daripada 18 pemandu dengan jangkaan untuk menobatkan juara baru.

Antara nama-nama yang perlu diberi perhatian termasuklah naib juara musim lalu dan pemandu pasukan Dream Chaser, Bradley Benedict Anthony, naib juara Musim Ketiga, Haji Sutan Mustaffa dan nama-nama lain seperti Kenneth Koh, Adam Khalid, Dato’ Dr Ken Foo, Lim Chun Beng dan Tom Goh.

Dalam kelas Super Sporting pula, saingan bertambah sengit. Juara dua kali, Tengku Djan Ley kembali untuk mempertahankan kejuaraannya. Juara kelas Sporting musim lalu dan juara Vios Challenge yang paling muda, Hayden Haikal yang berusia 16 tahun juga dinaikkan kelas untuk bersaing dalam Super Sporting.

Pesaing lain yang perlu diberi perhatian ialah juara Musim Kedua, Boy Wong, naib juara musim lalu, Mark Darwin, juara tempat ketiga musim lalu, Freddie Ang serta nama-nama besar lain seperti William Ho, Kenny Lee, Keifli Othman, Syafiq Ali dan juara kelas Sporting sebelum ini, Brendan Paul Anthony.

Musim Keempat Vios Challenge bakal menyaksikan perlumbaan sulung bagi Kelas Rookie yang melibatkan enam pelajar daripada Program Pembangunan Bakat Muda Gazoo Racing menggunakan kereta saloon buat pertama kalinya.

Berpindah daripada perlumbaan simulator kepada kereta saloon sebenar, mereka terdiri daripada Mika Hakimi, 17 dan Naquib Azlan, 20; serta pelumba gokart Amer Harris, 17; Jwan Hii, 18; Putera Adam, 14; dan Troy Eimann, 16.

Merupakan usaha pertama seumpamanya dianjurkan oleh sebuah syarikat automotif di Malaysia, program yang diterajui oleh UMW Toyota Motor berperanan mencari dan mendidik enam pelumba (berdasarkan pencapaian mereka dalam sukan gokart dan simulator).

Mereka perlu menjalani latihan di luar dan dalam litar di bawah seliaan pelatih-pelatih berpengalaman. Perlumbaan akan disambung pada Januari 2021 dengan perlumbaan pembukaan Musim Keempat akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang.

Pusingan 2 berlangsung pada Julai di lokasi yang sama. Sementara Pusingan 3 dan yang terakhir pada bulan September.

Sama seperti musim sebelum ini, Toyota Vios Challenge akan menawarkan hadiah wang tunai kepada setiap dua perlumbaan dalam satu-satu hujung minggu ia berlangsung, selain hadiah wang tunai bagi pemenang keseluruhan pada penghujung musim.

GR VIOS SPRINT CUP/GR ENDURO CUP

Sebagai bonus tambahan untuk semua pelumba dan pasukan, UMW Toyota turut mengumumkan penganjuran sulung perlumbaan GR Vios Sprint Cup dan GR Enduro Cup.

Vios Sprint Cup melibatkan dua perlumbaan dalam setiap pusingan atau keseluruhannya empat perlumbaan dalam dua pusingan yang diadakan bersempena acara Siri Kejuaraan Malaysia.

Bagi Enduro Cup pula, ia diadakan sempena Perlumbaan Sepang 1,000 KM sebagai kemuncak kalendar perlumbaan Musim Keempat. Semua perlumbaan akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang.

Acara tambahan ini berasingan daripada siri Toyota Vios Challenge dan direka untuk memberikan para pemandu dan pasukan mereka lebih banyak aktiviti perlumbaan serta peluang untuk memenangi hadiah wang tunai tambahan sepanjang kalendar perlumbaan tahun 2021.

GR Vios Sprint Cup dan Enduro Cup akan kekal dengan format one-make race, menampilkan kenderaan yang sama digunakan dalam Vios Challenge. Perlumbaan ini bagaimanapun akan diadakan dalam satu kelas terbuka sahaja.

Para pemandu dalam Vios Challenge tidak diwajibkan untuk ikut serta dalam GR Vios Sprint Cup dan Enduro Cup. Bagi pasukan pula, mereka juga tidak semestinya mempertaruhkan pelumba yang sama bersaing dalam Vios Challenge dan bebas untuk menggunakan pemandu baru atau lain untuk acara itu.

Keputusan dalam dua acara ini juga tidak akan mempengaruhi kedudukan mata keseluruhan yang dikumpul dalam siri Toyota Vios Challenge.

Google ads
Back to top button