Buletin

GM KELUAR PASARAN THAILAND. JUAL KILANG KEPADA GREAT WALL MOTORS

General Motors (GM) mengumumkan bahawa ia tidak lagi memasarkan kenderaan Chevrolet dan akan menjual kilangnya di Rayong menjelang hujung tahun ini.

Kadar penggunaan kilang minimum, selain jangkaan jualan domestik dan eksport yang rendah memberi kesan signifikan kepada perniagaan GM.

Pengeluar itu bagaimanapun menegaskan ia akan terus memberi sokongan kepada pelanggan Chevrolet sedia dia dari segi perkhidmatan selepas jualan, jaminan dan pembaikan di semua pusat servis sah.

Presiden GM Asia Tenggara, Hector Villarreal memberitahu GM akan memberikan pakej bantuan yang terbaik kepada pekerja berdasarkan kepada undang-undang buruh Thailand.  

GM merancang untuk menjual kilangnya di Rayong kepada Great Wall Motors (GWM) pada hujung tahun ini.

“Pembelian kilang itu dilihat mampu membantu GWM mengembangkan pasarannya di Thailand dan ASEAN. GWM juga boleh mengeksport produknya ke negara-negara serantau dengan lebih efisyen,” kata Naib Presiden Strategi Global GWM, Liu Xiangshang.

GM memulakan operasi di Thailand pada Januari 2000. Ia kemudian membina dua buah kilang di kawasan industri Timur Rayong.

Kilang itu mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 180,000 unit kenderaan setahun. Manakala kilang pemasangan enjin pula mampu menghasilkan 120,000 unit enjin setahun. Pelaburan kedua-dua kilang itu berjumlah AS$1.4 bilion (RM5.8 bilion).

Ia menggaji 1,900 orang pekerja di Thailand dengan 1,200 daripada mereka bekerja di kilang.

Terdahulu, GM mengumumkan ia akan menutup operasi jualan, reka bentuk serta kejuruteraannya di Australia dan New Zealand.

Google ads
Back to top button