Buletin

TOYOTA UMUM SENARAI PEMENANG PERLUMBAAN VIOS CHALLENGE MUSIM KE-3

Toyota dengan rasminya melabuhkan tirai bagi acara Toyota Gazoo Racing Festival dan Toyota Vios Challenge Musim Ketiga dengan menobatkan tiga pemenang kejuaraan bagi perlumbaan tahun ini yang sempat berlangsung meriah sebelum terbantut akibat penularan wabak pandemik Covid-19.

Musim ketiga menyaksikan Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi kategori Super Sporting bagi pemandu-pemandu profesional.

Sementara Hayden Haikal yang baru berusia 16 tahun pula menjadi juara kategori Sporting bagi pemandu amatur. Personaliti TV dan pemuzik Shawn Lee muncul juara untuk kategori Promotional yang terdiri daripada barisan pelumba selebriti.

Berjaya menamatkan 75 peratus daripada siri perlumbaan musim ini atau bersamaan tiga daripada empat perlumbaan yang ada, acara kemuncak yang sepatutnya berlangsung pada 17-19 April lalu di Litar Sepang. 

Namun ia terpaksa dibatalkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac 2020. Kerajaan melarang apa jua penganjuran acara melibatkan perhimpunan umum sehingga akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Sukan Permotoran, Toyota Gazoo Racing Malaysia dan Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama memberitahu keputusan akhir pemenang diambil selepas perbincangan teliti dengan mematuhi serta

konsisten terhadap semua penetapan yang digariskan oleh peraturan teknikal kejuaraan. Selain melalui perbincangan dengan Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM). 

Keputusan yang dicapai juga sangat konsisten dengan cara terbaik yang diamalkan oleh penganjuran perlumbaan antarabangsa.

Musim ketiga siri perlumbaan jalanan Toyota Vios Challenge bermula di Kuala Terengganu pada 5-7 September 2019, sebelum berlangsung di Bandar Malaysia pada 9-10 November 2019 dan seterusnya di Batu Kawan, Pulau Pinang pada 14-16 Februari 2020 untuk pusingan ketiga.

Bergerak ke hadapan, Akio memberitahu UMW Toyota Motor kini di peringkat awal untuk merencana persiapan musim keempat Toyota Gazoo Racing Festival dan Toyota Vios Challenge yang lebih menarik. 

“Musim keempat akan menjadi suatu pengalaman yang sama sekali berbeza.

“Ia bukan sahaja menawarkan format perlumbaan yang telah diperkemas ke atas semua pelumba, pasukan dan pengedar yang turut serta. Malah  turut melibatkan struktur hadiah dan ganjaran yang lebih menarik,,” jelas Akio.

Google ads
Back to top button