Buletin

PESAWAT PIA TERHEMPAS DI KAWASAN KEDIAMAN DI PAKISTAN. LEBIH 107 DIKHUATIRI MAUT

Sebuah pesawat Pakistan International Airlines (PIA) terhempas di Karachi dalam penerbangan dari Lahore, kata pegawai penerbangan semalam. Insiden tersebut berlaku hanya beberapa saat selepas juruterbang melaporkan terdapat masalah teknikal.

Pesawat malang itu dilaporkan membawa seramai 99 penumpang dan lapan kru, terbang dari Lahore ke Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah, salah satu lapangan terbang paling sibuk di Pakistan.

Gambar yang dikongsi di media sosial menunjukkan asap hitam jelas kelihatan dari lokasi nahas, berhampiran kawasan perumahan Model Colony di Karachi. Beberapa bangunan turut musnah dalam nahas yang berlaku pada jam 2.45 petang waktu tempatan.

Perkhidmatan kecemasan tiba di tempat kejadian di mana kediaman telah rosak teruk.

“Pesawat PK 8303 terhempas di Karachi. Kami berusaha untuk mengesahkan jumlah penumpang. Akhirnya kami mengesahkan terdapat 99 penumpang dan lapan anak kapal,” kata jurucakap pihak berkuasa penerbangan Pakistan, Abdul Sattar Khokhar.

Menurut tentera Pakistan, pasukan tindak balas pantasnya telah tiba di lokasi nahas untuk usaha bantuan dan menyelamat bersama dengan pentadbiran awam.

Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan berkata beliau “terkejut dan sedih” dengan nahas itu. Dalam ciapan di twitter, Imran menyatakan beliau sentiasa berhubung dengan Ketua Eksekutif syarikat penerbangan negara itu.

Kemalangan itu berlaku hanya beberapa hari selepas Pakistan menyambung semula penerbangan komersialnya.

Pakistan menggantung operasi penerbangan antarabangsa pada 21 Mac berikutan jangkitan Covid-19 dari luar negara terutamanya dari Iran dan negara Teluk.

Kira-kira 20 peratus penerbangan domestik akan kembali beroperasi di lima lapangan terbang utama di Islamabad, Karachi, Lahore, Quetta dan Peshawar.

Bencana itu berlaku ketika rakyat Pakistan di seluruh negara bersiap-siap untuk menyambut akhir Ramadan dan awal Aidilfitri. Ramai warganya pulang ke rumah mereka di bandar dan kampung.

Pakistan mempunyai rekod keselamatan kurang baik membabitkan penerbangan tentera dan awam. Sejak bertahun-tahun, pesawat dan helikopter dilaporkan kerap terhempas.

Pada tahun 2016, sebuah pesawat PIA meletup selepas satu daripada dua enjin turbopropnya mengalami masalah semasa terbang dari kawasan terpencil di utara ke Islamabad, mengakibatkan lebih 40 orang maut.

Bencana udara yang paling dahsyat di Pakistan berlaku pada tahun 2010, apabila sebuah pesawat Airbus A321 yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan swasta Airblue dan terbang dari Karachi merempuh bukit di luar Islamabad ketika mendarat. Ia membunuh semua 152 orang di dalamnya.

Reputasi PIA yang merupakan salah satu syarikat penerbangan terkemuka di dunia hingga tahun 1970-an kini dilihat semakin merosot akibat masalah pembatalan, penundaan dan kewangan. – AGENSI

Google ads
Back to top button