
CHINA PERTIMBANG PERKENAL PESAWAT PENGEBOM XIAN H-20. BOLEH BURUKKAN LAGI KETEGANGAN SEDIA ADA
Pesawat pengebom strategik generasi baharu China dijangka sedia untuk diperkenalkan pada tahun ini. Namun, Beijing kini sedang memikirkan tentang impak jika ia didedahkan ketika hubungan serantau kini agak tegang akibat wabak COVID-19.
Sumber ketenteraan menyatakan pesawat pengebom supersonic stealth Xian H-20 dapat meningkatkan keupayaan serangan dua kali ganda. Ia dijadual membuat penampilan pertama pada acara Pameran Udara Zhuhai, November depan jika pandemik berjaya dikawal.
“Pameran Udara Zhuhai akan menjadi platform untuk menyerlahkan imej dan keupayaan China dalam mengawal pandemik COVID-19. Ia mahu memberitahu dunia bahawa wabak itu tidak memberi impak besar kepada industri pertahanan China,” kata sumber.
Namun, pendedahan Xian H-10 dilihat boleh meningkatkan ketegangan kerana ia seakan-akan memberi ancaman langsung kepada negara-negara berhampiran terutama Australia, Jepun dan Semenanjung Korea.
Ketegangan di rantau itu kian memuncak dalam beberapa bulan kebelakangan ini apabila Beijing dan Washington saling bertikam lidah mengenai pandemik COVID-19. Kedua-dua kuasa besar itu juga meingkatkan kawalan di Selat Taiwan dan Laut China Selatan.
Jabatan Pertahanan AS menjangkakan H-20 mampu bergerak sejauh 8,500km. Ia merupakan pesawat perang terkini China yang turut merangkumi jet pejuang stealth J-20, pengangkut Y-20 dan helikopter pelbagai guna Z-20.
Kehadiran H-20 dilihat sebagai pelengkap kepada rangkaian senjata nuklear yang terdiri daripada peluru balistik antara benua, kapal selam dan pelancar peluru ke udara.
H-20 dilapor direka untuk menyerang sasaran melangkaui lingkaran pulau kedua. Ia meliputi pangkalan tentera AS di Jepun, Guam, Filipina dan beberapa lokasi lain.
Pesawat itu akan dilengkapi peluru berpandu nuklear dan konvensional dengan keupayaan mengangkut beban sekurang-kurangnya 200 tan. Ia dikatakan mampu terbang dengan kelajuan subsonik dan melepaskan empat peluru berpandu berkuasa hipersonik.
Pakar ketenteraan mendakwa H-20 mungkin menggunakan enjin NK-321 Rusia. Manakala penganalisa lain pula menyatakan ia dipasang dengan enjin WS-10 yang telah dinaik taraf.
H-20 dipercayai dibangunkan sejak awal tahun 2000 lagi. Projek membangunkan sebuah pesawat pengebom strategik bagaimanapun diumumkan oleh Tentera Pembebasan Rakyat pada tahun 2016. – SCMP