Buletin

SELEPAS 50 TAHUN, KHIDMAT 12 UNIT HELIKOPTER NURI DIREHATKAN

Selepas hampir 50 tahun menabur bakti, operasi 12 buah helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah ditamatkan.

Panglima TUDM Jen Datuk Seri Ackbal Abdul Samad memberitahu helikopter itu sudah terlalu uzur untuk digunakan dan kos menyelenggara juga sangat mahal.

“Jika TUDM ada duit sekalipun untuk membeli peralatan selenggara Nuri, ia memakan masa yang lama iaitu antara sembilan bulan hingga ke 18 bulan untuk mendapatkan alat ganti.

“Lagipun TUDM merancang untuk menggantikan pesawat berkenaan, tetapi ia masih di peringkat penilaian,” katanya.

Beberapa model helikopter juga dikenal pasti untuk menggantikan Nuri sebagai tambahan kepada aset sedia ada.

Sejak tahun 1991, pesawat Nuri pernah beberapa kali mengalami nahas termasuk terhempas dan membuat pendaratan cemas

Antaranya terhempas pada tahun 2010 di Sintok Kedah, pada tahun 2016 di Tawau Sabah dan Butterwoth Pulau Pinang pada tahun yang sama. Insiden terkini adalah  pendaratan cemas pada Ogos 2019 di Kem Gubir, Alor Star.

Diminta mengulas tentang peruntukan TUDM, Ackbal berkata peruntukan TUDM ketika ini berada di tahap yang ‘selesa’ dan pihaknya sentiasa mengoptimumkan keupayaan operasi aset sedia ada serta meningkatkan kebolehan pasukan itu.

“Ketika ini TUDM mengutamakan perbelanjaan yang berhemah dan meminimumkan majlis keraian yang dirasakan tidak perlu,” katanya.

— BERNAMA

Google ads
Back to top button