Buletin

PESAWAT KARGO DHL TERPUTUS DUA SELEPAS LAKUKAN PENDARATAN KECEMASAN (VIDEO)

Nahas pesawat terbaru melibatkan sebuah pesawat kargo milik DHL yang menyebabkan pesawat terputus dua sebaik membuat pendaratan kecemasan. Kejadian berlaku sejurus selepas pesawat Boeing terbabit berlepas dari lapangan terbang antarabangsa Juan Santamaria, Costa Rica.

Juruterbang mengesan kegagalan pada sistem hidraulik pesawat dan membuat keputusan untuk berpatah balik sebelum melakukan pendaratan kecemasan.

Pesawat Boeing 757-200 itu dilihat terseret di atas landasan sejauh beberapa ratus kaki sebelum tergelincir ke bahagian tepi landasan terbang dan mengakibatkan bahagian badannya terputus dua.

Syukurlah umur kedua kru penerbangan masih panjang dan tidak mengalami apa-apa kecederaan. Mereka bagaimanapun masih dikejarkan ke hospital untuk pemantauan dan langkah berjaga-jaga.

Berdasarkan foto-foto selepas kejadian, kebanyakan kargo yang dibawa pesawat terbabit masih dalam keadaan baik dan terikat dengan kemas.

Lain pula halnya dengan fiuslaj pesawat yang kelihatan seperti dipotong dua. Cantik je nampak tempat terputus tu. Lebih kelakar lagi bila DHL mengumumkan yang pesawat mereka dengan nombor pendaftaran JOS2716 mengalami kerosakan sewaktu mendarat di lapangan terbang San Jose. Kalau kerosakan kecil-kecil tu boleh la cakap macam tu. Ini putus dua kot.

Lapangan terbang itu juga terpaksa ditutup buat seketika sebelum aktiviti penerbangan disambung kembali.

Kejadian kali ini boleh dikira sebagai satu keajaiban kerana pesawat masih dalam keadaan balik walaupun terputus dua. Ia juga tidak mencetuskan kebakaran seperti nahas pesawat lain lazimnya. Pesawat itu juga mempunyai bekalan minyak yang boleh tahan banyaknya dan cukup untuk perjalanan selama 95 minit.

Mungkin pengalaman juruterbang banyak membantu dalam memastikan tragedi pesawat terhempas tidak berlaku. Saksikan pautan video semasa kejadian dan ia kelihatan seolah pesawat terbabit melakukan aksi burn out sebelum juruterbang menarik brek tangan untuk melakukan aksi skid. Err… tapi penyudahnya kurang cantik sikit sebab itu ekor pesawat ini terputus dua. Macam ekor cicak pun ada jugak kan?

Google ads
Back to top button