
PHSAM PANGGIL SEMULA 2,767 UNIT AUDI UNTUK PERIKSA BEG UDARA TAKATA
PHS Automotive Malaysia (PHSAM) hari ini mengumumkan panggilan semula sukarela ke atas 2,767 unit kenderaan.
Pemilik yang terlibat diminta supaya menghubungi pusat Audi Centre berhampiran untuk mendapatkan temu janji pemeriksaan serta penggantian jika perlu terhadap beg udara dan alat ganti berkaitan secepat mungkin.
Panggilan semula itu melibatkan model-model seperti Audi A4 Sedan, A5 Sportback, A6 Sedan, Q5
dan TT Coupe yang dikilangkan di antara tahun 2008 hingga 2017 yang dipasang dengan beg udara Takata atau generator gas pada beg udara bahagian pemandu, penumpang dan beg udara jenis curtain.
Berdasarkan kepada kemas kini terbaharu daripada pengeluar, wujud kemungkinan perumah generator gas tersebut itu rosak sekiranya beg udara diaktifkan. Ini akan menyebabkan serpihan kecil melayang daripada perumah tersebut dan boleh mengakibatkan risiko keselamatan yang serius.

“Di Audi, keselamatan menjadi keutamaan kami. Ia akan terus menjadi salah satu faktor penting dalam usaha berterusan kami untuk menambah baik aspek perkhidmatan selepas jualan.
“Walaupun kami sudah mengenal pasti jumlah kenderaan yang terlibat dalam kempen panggilan semula ini, memang ada kemungkinan bukan semua memerlukan penggantian alat ganti.
“Justeru, kami ingin menggalakkan pelanggan membawa kenderaan untuk diperiksa di pusat servis, seterusnya memberi ketenangan minda kepada mereka,” kata Pengarah Urusan PHSAM, Erik Winter.
Pemilik kenderaan berusia lima tahun dan ke atas juga layak untuk menyertai program Audi Plus yang dilancarkan baru-baru ini yang menawarkan diskaun penyelenggaraan sebanyak 10 peratus di mana-mana pusat Audi Centre.
Pelanggan juga akan menerima 3 baucar servis yang boleh digunakan dalam tempoh 3 tahun selepas tahun kelima servis, selain perkhidmatan Bantuan Tepi Jalan Audi secara percuma sehingga 12 bulan dari tarikh penebusan baucar.
Pelanggan yang tidak pasti sama ada kereta Audi mereka terlibat dalam kempen panggilan semula ini dinasihatkan supaya mengunjungi laman web Audi Malaysia. Mereka juga boleh menghubungi Khidmat Pelanggan Audi di talian 1-800-22-2834 atau emel ke info@phsautomotive.com.my