Artikel Pilihan

LEPAS 20 TAHUN, AUDI A2 KEMBALI JADI EV

Audi menghidupkan semula nama A2 selepas lebih dua dekad kali ini sebagai sebuah model serba elektrik yang dinamakan Audi A2 e-tron. Model kompak baharu ini diperkenalkan sebagai model elektrik mampu milik Audi, dengan fokus utama terhadap kecekapan tenaga, jarak perjalanan yang jauh serta penggunaan ruang yang praktikal.

Audi menyifatkan A2 e-tron sebagai usaha pembaharuan jenama itu dalam menghasilkan kenderaan elektrik yang lebih sesuai untuk kegunaan harian. Antara perkara paling menarik mengenai A2 e-tron ialah tahap kecekapannya dengan pekali seretan hanya 0.24, model ini mampu mencapai penggunaan tenaga serendah 12.8 kWh/100 km mengikut kitaran WLTP bagi varian 140 kW.

Audi menegeaskan angka tersebut menjadikan A2 e-tron sebagai model paling cekap pernah dihasilkan dalam sejarah pengeluaran Audi. Dari segi jarak perjalanan, A2 e-tron ditawarkan dengan tiga pilihan kapasiti bateri iaitu 52 kWh, 61 kWh dan 84 kWh.

Dua bateri lebih kecil menggunakan teknologi LFP, manakala bateri 84 kWh menggunakan bateru NMC. Dengan konfigurasi 170 kW dan bateri 84 kWh, A2 e-tron mampu mencapai jarak maksimum sehingga 646 km berdasarkan WLTP, bersamaan kira-kira 401 batu.

Audi menyediakan empat tahap kuasa untuk A2 e-tron, bermula dengan varian 170 PS140 kW (190 PS), 170 kW (231 PS) serta 240 kW (326 PS) bagi varian paling berkuasa. Kesemua varian menggunakan pacuan roda belakang, manakala tork maksimum mencecah 545 Nm untuk versi 240 kW. Varian paling berkuasa mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 5.7 saat dan mencapai kelajuan maksimum 200 km/j.

Bagi varian lain, kelajuan maksimum ditetapkan pada 160 km/j, dengan masa pecutan 0-100 km/j antara 7.0 hingga 8.8 saat bergantung kepada konfigurasi. Varian 125 kW dengan bateri 52 kWh menawarkan jarak sehingga 423 km, manakala versi 140 kW dengan bateri 61 kWh mampu mencapai sehingga 515 km.

Kecekapan A2 e-tron bukan hanya bergantung kepada sistem pacuan elektriknya malah Audi turut mengoptimumkan reka bentuk luaran bagi mengurangkan rintangan udara, termasuk bahagian bawah badan yang hampir tertutup sepenuhnya, saluran udara penyejukan yang boleh dikawal, roda aerodinamik serta elemen pada ruang roda yang membantu mengurangkan pusaran angin.

Dari segi pengecasan, bateri 84 kWh menyokong pengecasan pantas DC sehingga 183 kW, membolehkan pengecasan daripada 10 hingga 80 peratus dalam kira-kira 29 minit. Bateri 52 kWh pula menyokong sehingga 100 kW dan mengambil sekitar 24 minit untuk pengecasan 10-80 peratus, manakala bateri 61 kWh menyokong sehingga 105 kW dan mengambil sekitar 26 minit.

Audi A2 e-tron turut menyokong sistem pengecasan dua hala menerusi fungsi Vehicle-to-Load (V2L) membolehkan tenaga daripada bateri digunakan untuk membekalkan kuasa kepada peralatan luaran seperti basikal elektrik atau peralatan elektronik. Sistem Vehicle-to-Home (V2H) pula membolehkan bateri kereta digunakan sebagai sumber tenaga untuk rumah dengan bantuan pengecas DC yang sesuai.

Audi A2 e-tron ini mempunyai jarak roda sepanjang 2.77 meter dengan panjang keseluruhan kenderaan pula sekitar 4.32 meter, menjadikannya sebuah EV yang mudah diposisikan dalam persekitaran bandar tetapi masih menawarkan ruang dalaman yang praktikal.

Audi A2 e-tron dilengkapi Audi Virtual Cockpit Plus berukuran 11.9 inci yang digabungkan dengan skrin sentuh MMI berukuran 12.8 inci melengkung. Sistem Audi Assistant berasaskan AI serta sistem navigasi e-tron turut disediakan sebagai sebahagian daripada kelengkapan standard.

Audi turut memberikan perhatian kepada aspek praktikaliti dengan memperkenalkan sistem penyimpanan magnetik Fidlock sebagai kelengkapan standard. Sistem ini membolehkan beberapa aksesori dan ruang penyimpanan disusun mengikut keperluan pengguna.

Dari aspek keselamatan dan bantuan pemanduan, A2 e-tron hadir dengan beberapa ciri ADAS seperti sistem brek kecemasan, bantuan mengelak halangan, pemantauan tahap perhatian pemandu, kawalan jelajah adaptif, sistem bantuan parkir serta kamera undur.

Google ads
Back to top button