
WRC 2023 – CENTRAL EUROPEAN RALLY PERTAMA KALI MEMBABITKAN TIGA BUAH NEGARA
FIA World Rally Championship (WRC) musim ini sebenarnya ada sesuatu yang lebih menarik untuk disajikan kepada pemandu dengan juga penonton. Buat pertama kalinya dalam sejarah, Central European Rally bakal diadakan pada 26 – 29 Oktober nanti yang bakal membabitkan penganjuran tiga buah negara sekali gus. Perlumbaan Central European Rally ini akan berada dalam perlumbaan ke 12 dalam kalendar musim ini.
Perlumbaan dengan permukaan aspal itu bakal menyaksikan tiga buah negara menjadi lokasi perlumbaan, Jerman, Austria dan juga Republik Czech yang buat julung kalinya diadakan. Pusat servis untuk pasukan akan diadakan di Passau, Germany. Dan ianya bakal menggandingkan tiga badan permotoran utama, ADAC (Jerman), Autoclub (Republik Austrian Motorsport Federation) dan juga AMF (Austrian Motorsport Federation).
Perlumbaan rali ini bakal dimulakan pada hari Khamis siang dengan upacara pelepasan bakal diadakan di bandar Prague yang terkenal dengan bangunan istana lama itu. Ianya bakal diikuti dengan Super Special Stage melibatkan kawasan bandar di Republik Czech sendiri dan yang pastinya akan dihadiri oleh ribuan peminat untuk melihat dengan lebih dekat jentera rali dan juga para pelumba dan juga bintang WRC sendiri.

Hari Jumaat pula akan membabitkan tujuh peringkat perlumbaan di selatan Republik Czech, termasuklah satu peringkat Super Special. Ianya bakal membabitkan jarak 140 kilometer yang cukup kompetetif sebelum kesemua krew akan kembali semula ke Passau pada malamnya.
Untuk saingan hari Sabtu, ianya akan berlokasikan di Danube, sebuah kawasan sungai yang kedua terpanjang di Eropah melewati negara Austria dan juga sebahagian negara Jerman. Ianya akan membabitkan enam peringkat perlumbaan di sini yang dihadapi oleh para pemandu.
Saingan hari Ahad pula akan meliputi empat peringkat di daerah Mühlviertel, Austria dan sebahagian bahagian selatan negara Jerman dan paling penting, peringkat yang menawarkan mata bonus tambahan Wolf Power Stage.
Pemenang untuk Central European Rally ini akan ditabalkan di bandar Passau selepas melalui 18 peringkat yang akan membabitkan jarak 320 km dan jarak keseluruhan yang perlu ditempuh oleh kesemua krew adalah sekitar 1,370 km.
BACA : ERC 2023 – KEMENANGAN DRAMATIK BUAT HAYDEN PADDON DI RALLY SERRAS DE FAFE
BACA : WRC RALLY GUANAJUATO MÉXICO – CUACA EKSTREM BAKAL MENGUJI PEMANDU & JENTERA RALIttps:/









