Buletin

AUDI A2 E-TRON KEMBALI, DIKATAKAN EV PALING CEKAP DALAM SEJARAH AUDI

Audi menghidupkan semula nama A2 menerusi sebuah hatchback elektrik serba baharu yang dikatakan sebagai model paling cekap tenaga pernah dihasilkan syarikat itu.

Berbeza dengan A2 generasi pertama yang diperkenalkan pada penghujung 1990-an, model baharu ini dibangunkan menggunakan platform Volkswagen ID.3 Neo bagi mengurangkan kos pembangunan serta mempercepatkan proses pengeluaran.

A2 asal terkenal dengan penggunaan badan aluminium dan enjin diesel yang menjimatkan bahan api, namun kos pembuatannya yang tinggi menyebabkan model itu gagal mencapai sasaran jualan. Sepanjang tempoh pengeluarannya selama lima tahun, hanya 176,377 unit berjaya dijual.

Bagi A2 E-Tron, Audi memberi tumpuan sepenuhnya kepada kecekapan aerodinamik dan penggunaan tenaga. Model pacuan roda belakang ini dianggarkan menggunakan hanya 12.8kWh bagi setiap 100km, sekali gus menjadikannya antara EV paling cekap dalam segmennya.

Reka bentuknya turut menyumbang kepada kecekapan tersebut dengan pekali seretan udara (Cd) serendah 0.24, namun angka itu hanya dicapai apabila dipadankan dengan pakej kecekapan pilihan.

Bahagian bawah kenderaan direka sepenuhnya bagi meningkatkan aliran udara, termasuk penggunaan pelbagai deflektor, spoiler pada gandar hadapan dan belakang, serta komponen khas di sekitar roda bagi mengurangkan pergolakan angin.

Walaupun tidak mempunyai gril konvensional, model ini dilengkapi bukaan udara aktif yang akan terbuka secara automatik apabila sistem bateri dan elektronik memerlukan penyejukan tambahan, seperti ketika cuaca panas, pecutan tinggi atau proses pengecasan.

A2 E-Tron menggunakan bateri litium besi fosfat (LFP) berkapasiti 61kWh yang dipadankan dengan motor elektrik di gandar belakang menghasilkan 188hp.

Audi turut membayangkan kemungkinan lebih banyak varian akan diperkenalkan pada masa depan, memandangkan ID.3 Neo turut ditawarkan dengan pilihan kuasa 168hp dan 228hp.

Walaupun jarak perjalanan rasmi masih belum diumumkan, penggunaan bateri LFP membolehkan pengecasan sehingga 100 peratus dilakukan secara rutin tanpa memberi kesan besar terhadap jangka hayat bateri.

Dengan kecekapan yang dipertingkatkan, model ini dijangka mampu menawarkan jarak pemanduan yang kompetitif, malah berpotensi melepasi 640km bagi varian tertentu jika dipadankan dengan bateri lebih besar.

Audi dijangka mendedahkan sepenuhnya A2 E-Tron pada musim luruh tahun ini sebelum ia dipasarkan di Eropah menjelang penghujung tahun atau awal 2027 sebagai model EV paling kecil dan mampu milik dalam barisan produknya.

Google ads
Back to top button