Buletin

PASANG HON BERIRAMA? ANDA BOLEH DIDENDA MAKSIMUM RM2K, PENJARA TIDAK LEBIH 6 BULAN

Kenderaan yang menggunakan ‘hon tenonet’ boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor, Nazli Md Taib berkata, Operasi Penguatkuasaan Hon Melebihi Satu Nada atau Berirama telah dijalankan sejak 1 Mac lalu di sekitar negeri ini hasil aduan awam.

Menurutnya, pihak JPJ mendapati hon berkenaan semakin trending sekarang, digunakan oleh kenderaan terutama lori dan bas.

“Hon merupakan salah satu instrumen penting pada sesebuah kenderaan. Ia berfungsi untuk memberi amaran, peringatan atau isyarat kepada pengguna jalan raya lain melalui sistem bunyi.

“Namun, penggunaan hon yang melebihi satu nada atau nada berirama ini boleh mengelirukan pengguna jalan raya lain tentang isyarat yang ingin disampaikan. Selain boleh mengganggu ketenteraman awam jika dibunyikan di kawasan perumahan,” katanya kepada Sinar Harian.

Justeru, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 119(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara bagi tempoh tidak melebihi enam bulan.

Tindakan memasang hon berirama secara aksesori (retrofit) juga boleh diambil tindakan saman di bawah Kaedah 24(i) Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Kegunaan) 1959 kerana ‘memasang hon melebihi satu nada’.

Pemilik kenderaan perlu hadir pemeriksaan di mana-mana Pejabat JPJ berdekatan bagi memastikan kenderaan tersebut telah dibuat tindakan pembetulan dengan membuang semula ‘hon tenonet’ yang dipasang.

Notis Penarikan Semula Larangan Penggunaan Kenderaan (PG2) akan dikeluarkan selepas pemeriksaan kenderaan dibuat.

“Kompaun juga perlu dijelaskan atau kes dibawa ke mahkamah bagi tindakan lanjut,” tegasnya.

JPJ Selangor menyatakan penguatkuasaan secara berterusan akan dilakukan bagi memastikan pemandu mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button