Motosikal

EKZOS BISING? ANDA BOLEH DIDENDA RM2,000 ATAU PENJARA TIDAK LEBIH 6 BULAN

Pemilik motosikal yang mengubah suai kenderaan menggunakan ekzos bising boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, di bawah Kaedah 103 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959 (LN 170/1959) setiap ekzos (penyenyap) yang dipasang pada kenderaan bermotor hendaklah pada setiap masa diselenggara supaya berada dalam keadaan baik.

Ekzos kenderaan juga perlu dipastikan tidak diubah suai sehingga mengeluarkan bunyi bising.

“Mana-mana individu yang membuat pengubahsuaian begitu dilihat telah adalah melakukan satu kesalahan. Jika disabit kesalahan,mereka  boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM2,000 atau tidak lebih enam bulan penjara,” katanya dalam satu kenyataan.  

Di bawah peruntukan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987, polis diberi kuasa untuk menyita motosikal tersebut dengan tujuan untuk mengelakkan kesalahan sama berulang.

Penggunaan ekzos bising menjadi trend dalam kalangan penunggang muda sejak dahulu lagi kerana ubah suai itu didakwa ]dapat meningkatkan kelajuan dan mencantikkan fizikal motosikal tersebut.

JSPT sentiasa mengadakan Operasi Bersepadu dengan jabatan dan agensi yang lain termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Dalam operasi itu, motosikal akan diukur paras bunyi ekzos yang dibenarkan. Sekiranya paras bunyi melebihi daripada yang ditetapkan, JAS akan mengeluarkan kompaun saman ke atas pemilik motosikal,” katanya.

Justeru, polis ingin mengingatkan pemilik semua jenis kenderaan agar mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya yang melibatkan pengubahsuaian kenderaan bermotor.

“Sebarang pengubahsuaian yang ingin dilakukan hendaklah mendapatkan kelulusan daripada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya. – Sinar Harian

Google ads
"
"
Back to top button