
HINO MOTORS DIKENAKAN DENDA USD1.6 BILLION KERANA PENIPUAN EMISI DISEL – TERTINGGI SELEPAS VW DIESELGATE
Sebuah lagi syarikat automotif ternama didenda kerana didakwa melakukan penipuan dalam emisi disel. Kali ini giliran Hino Motors, sebuah syarikat yang berada di bawah naungan Toyota Group. Mereka bagaimanapun bersetuju untuk membayar denda berjumlah hampir USD1.6 billion selepas didapati menipu data ujian pelepasan asal disel yang dihantar kepasa NHTSA.

USD236.5 juta dikenakan sebagai penalti civil California termasuklah USD525 juta lagi juga untuk penalti civil. Tambahan USD521.7 lagi ialah untuk denda kesalahan jenayah dan pelbagai kos lain yang bersangkutan.
Menurut kenyataan penyelesaian, Hino Motors mengaku bersalah memalsukan data untuk 105,000 enjin disel yang telah dipasarkan untuk kegunaan di jalan raya dan 6,000 lagi enjin untuk kegunaan off-road. Mereka juga dikehendaki memanggil semula trak-trak yang dipasarkan dengan enjin tersebut dari tahun 2017-2019 dan memastikannya mematuhi piawaian.

Toyota menguasai pegangan saham Hino Motors sejak 2001 dan mereka memasarkan enjin-enjin tugas berat dan sederhana untuk trak-trak kegunaan industri.
CEO Hino Motors, Satoshi Ogiso telah mengeluarkan permohonan maaf kepada pelanggan-pelanggan dan pemegang saham atas insiden tersebut. Mereka akan melakukan reformasi dalaman untuk memastikan perkara seumpama itu tidak akan berlaku lagi di masa akan datang.
Denda yang dikenakan adalah yang tertinggi sejak skandal disel VW sepuluh tahun lalu. Penipuan seumpama ini bukan kali pertama berlaku dan banyak melibatkan jenama-jenama lain dari seluruh dunia. Jenis di bawah Stellantis seperti RAM dan Jeep juga pernah diberi amaran beberapa kali kerana perlanggaran emisi kenderaan. Begitu juga dengan Mercedes, BMW dan Audi.