Buletin

PRODRIVE P25 – INSPIRASI JENTERA WRC, IMPREZA 22B

Sebagai salah satu cara menyambut ulang tahun kejayaan bersama Subaru 25 tahun yang lalu, Prodrive bakal membawakan sebuah model jalanan yang diinspirasikan daripada jentera rali Subaru Impreza 1997 dan model 22B, iaitu P25.

Model edisi terhad P25 itu dikatakan bakal hadir dengan nadi flat-four 2.5 liter turbo yang mampu menghasilkan kuasa melebihi 400 hp.

Sistem transmisi pula bukanlah jenis manual seperti sangkaan ramai, sebaliknya ia hadir dengan kotak gear semi-automatik enam kelajuan yang boleh dikawal menggunakan paddle shifter.

Menurut Prodrive, model edisi terhad ini banyak menggunakan bahan gentian karbon bagi meminimumkan berat badan.

Berdasarkan lakaran yang dibekalkan, Prodrive P25 memang membawakan rupa paras Impreza 22B, dengan cermin sisi yang lebih aerodinamik, fender yang lebih agresif, serta rim berjenama Prodrive.

Projek P25 ini turut mendapat sokongan daripada bekas pereka asal, iaitu Peter Stevens, serta pengarah teknikal David Lapworth yang bertanggungjawab terhadap aspek kejuruteraan jentera tersebut 25 tahun yang lalu.

Difahamkan, Prodrive hanya akan membina 25 unit sahaja P25 untuk satu dunia, dan ia akan muncul secara rasmi di acara Goodwood Festival of Speed pada bulan Jun ini.

Google ads
Back to top button