Buletin

NISSAN Z BERTUGAS SEBAGAI SAFETY CAR SUPER GT 2022

Selain daripada bertempur secara rasmi dalam sukan perlumbaan Super GT pada tahun ini, Nissan Z juga turut dikerahkan berkhidmat sebagai jentera keselamatan (safety car) untuk acara perlumbaan yang sama.

Untuk tujuan itu, Nissan telah mendatangkan beberapa perubahan seperti contoh pemasangan bar lampu keselamatan, LED tambahan pada bahagian gril hadapan, diikuti dengan tempat duduk Recaro dan tali pinggang keselamatan berjenama Nismo.

Ia juga turut dilengkapi dengan alat komunikasi yang diperlukan untuk sentiasa berhubung dengan menara kawalan sepanjang tempoh perlumbaan.

Nissan akan menyerahkan kereta keselamatan ini secara rasmi pada 29 Mei ketika pusingan ketiga musim perlumbaan 2022 berlangsung di Litar Suzuka.

Bercakap pasal jentera lumba pula, Nissan Z GT500 kini menggalas tugas utama menggantikan peranan Nissan GT-R yang sudah terlalu berusia.

Jentera lumba itu menampilkan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo yang dihadkan kuasanya kepada 650 hp, serta kelengkapan aerodinamik yang diperlukan untuk tujuan perlumbaan.

Namun untuk pengguna normal, Nissan Z boleh didapati dengan nadi 3.0 liter bentangan V6 turbo berkembar yang mampu menjana kuasa setinggi 400 hp dan 474 Nm, dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan atau automatik sembilan nisbah kelajuan.

Google ads
Back to top button