Buletin

KIA EV6 MUNCUL DI MALAYSIA. LANCAR TIDAK LAMA LAGI?

Sempena acara pertandingan golf PGM Kia Championship 2022 yang berlangsung di Glenmarie Hotel & Golf Resort baru-baru ini, pengedar rasmi kenderaan Kia di Malaysia, Dinamikjaya Motors Sdn. Bhd. (Dinamikjaya Motors) membuat kejutan apabila mempamerkan kereta elektrik Kia EV6. 

Model EV pertama Kia itu dipamer untuk tatapan umum tanpa mendedahkan spesifikasinya secara terperinci. Biarpun begitu, jentera yang sporty itu nyata mendapat perhatian ramai setelah berjaya di semua pasaran yang dimasukinya.

Hadir dalam warna perak, EV6 mengetengahkan rekaan sporty dan jauh berbeza daripada kembarnya, Hyundai Ioniq 5. Dilancarkan pada Mac lalu, Ioniq 5 tampil dengan reka bentuk moden klasik yang cukup menawan. Kedua-duanya dibangunkan di atas platform modular E-GMP. 

Biarpun masih belum dapat dipastikan berapa banyak varian yang bakal ditawarkan, model yang dipamerkan ini merupakan varian GT Line. Sebab itulah ia didatangkan dengan beberapa kemasan hitam pada bahagian hadapan, sisi dan belakangnya. 

Wajah EV6 diserlahkan dengan rekaan Tiger Nose yang nipis, bersama padanan sepasang lampu LED berbentuk tiga segi, Bahagian bawahnya juga dipasang dengan kemasan hitam (piano black). 

Melihat dari arah sisi, jentera itu menggunakan rim dua tona bersaiz 20 inci. Bingkai tingkap turut diwarnakan hitam untuk memberi efek bumbung terapung. Paling menyerlah pastinya bahagian belakang yang tampil dengan rekaan lampu futuristik bersama kemasan geometri pada lampu membeloknya. 

Di pasaran luar negara, EV berkenaan boleh didapati dalam pilihan motor elektrik tunggal pacuan roda belakang (RWD), atau motor elektrik berkembar dengan sistem pacuan semua roda (AWD).

Dari segi kuasa,  versi Long Range boleh didapati dalam pacuan dua roda belakang dengan 225 hp dan 350Nm. Manakala varian AWD pula berkuasa 321 hp dan tork 605Nm yang membolehkannya memecut dari 0-100km/j dalam masa cuma 5.2 saat. 

EV6 versi GT-Line yang dipamerkan itu dikatakan dijana oleh pek bateri berkapasiti 77.4 kWh dengan jarak gerak mampu mencecah 506km sekali caj. 

EV6 dijangka dilancarkan secara rasmi pada suku ketiga atau keempat tahun ini. Harganya pula dikatakan hampir RM300,000 seunit. Jika berminat, sila tempah segera apabila tempahannya dibuka tidak lama lagi. Kalau lambat, panjanglah tempoh menunggunya nanti. 

GALERI

Google ads
Back to top button