" "
Buletin

TIADA LAGI HIBRID UNTUK WRC BERMULA MUSIM HADAPAN

Akhirnya Federation Internationale de I’Automobile (FIA) telah mengesahkan bahawa bermula tahun 2025, penggunaan sistem hibrid terhadap jentera Rally1 yang beraksi dalam World Rally Championship (WRC) akan digugurkan sekali gus akan menyaksikan persaingan yang baharu untuk dua musim berikutnya.

Hasil daripada e-vote yang diadakan menunjukkan bahawa terdapat undian majoriti yang mahukan agar undang – undang semasa diubah yang menyaksikan jentera hibrid Rally1 tidak lagi akan digunapakai selepas ini.

Ini bermakna perlumbaan WRC akan memasuki era baharu dengan jentera Rally1 bukan hibrid bermula 2025 kerana dua perlumbaan membabitkan Martins Sesks bersama jentera Ford Puma Rally1 telah membuktikan bahawa jentera tersebut masih lagi mempunyai potensi walau pun tanpa unit hibrid.

Dalam pada masa yang sama, keputusan terbaharu mengenai tiada lagi penggunaan teknologi hibrid terhadap jentera Rally1 membolehkan pasukan dan pengilang mengurangkan perbelanjaan keseluruhan mereka.

Malah keputusan ini juga membolehkan pemandu lain untuk mendapat manfaat daripada keputusan ini dengan peralihan daripada pemanduan jentera Rally2 ke Rally1 dengan lebih mudah.

Bermula tahun 2025 berat minimum jentera Rally1 turut akan dikurangkan daripada 1260 kg kepada 1180 kg hasil daripada ketiadaan sistem hibrid ini. Malah restrictor juga dikurangkan daripada 36mm kepada 35 mm untuk mengekalkan nisbah kuasa kepada berat yang setara diantara jentera untuk musim 2025 dan 2026 kelak.

Menurut Xavier Mestelan Pinon selaku Pengarah Teknikal FIA berkata “Berikutan dialog yang meluas dengan pihak berkepentingan utama, ianya jelas bahawa terus menggunakan unit hibrid plug-in yang disediakan di bawah perjanjian pembekal sedia ada tidak akan ada lagi demi kepentingan terbaik untuk WRC”.

Menurut beliau lagi, WRC juga kekal berkomitmen untuk menggunakan 100% bahan api mampan terhadap perlumbaan bagi mengurankan impak terhadap alam sekitar.Untuk rekod, sistem hibrid terhadap jentera Rally1 sebelum ini telah disediakan oleh Compact Dynamics dan ianya mula digunapakai semenjak dari perlumbaan tahun 2022.

Pasukan M-Sport Ford adalah pasukan yang pastinya gembira dengan keputusan ini sementelah mereka terlebih dahulu memperkenalkan jentera Rally1 bukan hibrid untuk bersaing dengan jentera Rally1 berspesifikasi dan terbukti bahawa ianya juga cukup kompetetif. Malah, jentera Ford Puma Rally1 bukan hibrid tersebut juga telah dijual kepada pemandu dari Indonesia.

BACA : FORD PUMA RALLY1 KINI SUDAH MENDARAT DI INDONESIA

BACA : JENTERA MARTIN SESKS BERSAMA FORD PUMA RALLY1 DIDEDAHKAN

Google ads

B K

Back to top button