
PROTON e.MAS 7 CATAT 7,413 UNIT TERJUAL, e.MAS 5 TERIMA 10,000 TEMPAHAN
PRO-NET, anak syarikat kepada PROTON, mencatat satu lagi kejayaan membanggakan apabila model Proton e.MAS 7 terus mengekalkan kedudukannya sebagai EV paling laris di Malaysia selama 10 bulan berturut-turut.
Sehingga 31 Oktober 2025, sebanyak 7,413 unit telah berjaya dijual, termasuk 6,954 unit di pasaran tempatan dan 459 unit bagi pasaran eksport.
Sementara itu, model Proton e.MAS 5, iaitu EV mampu milik pertama jenama tersebut, menunjukkan sambutan luar biasa dengan lebih 10,000 tempahan diterima di seluruh negara sejak pelancarannya baru-baru ini.
Angka ini menggambarkan peningkatan minat rakyat Malaysia terhadap mobiliti elektrik serta komitmen PRO-NET untuk menawarkan EV berkualiti tinggi yang mudah dimiliki oleh semua lapisan masyarakat.

Menurut laporan rangkaian pengedar, Lembah Klang mencatat jumlah tempahan tertinggi, diikuti kawasan Selatan dan Utara, manakala Sabah, Sarawak dan Pantai Timur turut menunjukkan permintaan yang semakin kukuh.
Pelanggan e.MAS 5 kebanyakannya terdiri daripada golongan profesional – menjadikannya kenderaan utama, di samping pembeli muda dan pembeli pertama yang tertarik dengan reka bentuk moden serta kos penyelenggaraan rendah.
Ramai pelanggan juga memanfaatkan program Power Trade-In, yang menawarkan rebat tambahan RM1,000 untuk penukaran kereta lama.
Bagi sebahagian pembeli pula, e.MAS 5 menjadi kenderaan kedua keluarga kerana saiznya yang kompak namun praktikal untuk kegunaan harian.
Maklum balas awal menunjukkan harga kompetitif, pemanduan selesa, serta ciri teknologi pintar menjadi antara faktor utama yang menarik perhatian pengguna. Rata-rata menganggap e.MAS 5 sebagai EV harian ideal.
Bagi mereka yang berminat, tempahan Proton e.MAS 5 kini dibuka dengan rebat pelancaran khas RM3,000 sehingga 31 Disember 2025.
Pelanggan juga berpeluang menikmati pakej pelancaran eksklusif bernilai sehingga RM8,000, termasuk pemasangan pengecas rumah 7kW percuma, data internet tanpa had selama lima tahun, dan pelbagai faedah pemilikan tambahan yang menjadikan pengalaman memiliki EV lebih mudah dan menyeronokkan.
Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman web rasmi Proton e.MAS.
- BACA: QJMOTOR CURI TUMPUAN DI EICMA DENGAN FORT 600 – 53HP, 54NM
- BACA: KERETA ELEKTRIK PERODUA DILANCAR AKHIR BULAN INI, JADI AGENDA NASIONAL – PMX
- BACA: BYD ATTO 3 2026 DIPERKENALKAN DI CHINA – JARAK GERAK 650KM, JANA KUASA 308HP
- BACA: SUPERCAR DENZA Z MULA UJI LITAR NÜRBURGRING, KUASA DIRAMAL MELEBIHI 1,000HP!








