Buletin

PROTON TUBUHKAN SYARIKAT BAHARU UNTUK PERLUAS PASARAN LUAR NEGARA

PROTON Holdings Berhad (PROTON) terus memperkukuh kedudukannya di peringkat antarabangsa dengan menubuhkan Proton International Corporation Sdn Bhd (PICSB), sebuah anak syarikat milik penuh yang ditugaskan untuk mengurus dan memacu aktiviti eksport ke pasaran luar negara.

Langkah strategik ini bertujuan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pengurusan pasaran eksport, seterusnya menyokong sasaran jangka panjang PROTON untuk meningkatkan jualan luar negara dan melebarkan capaian ke lebih banyak pasaran baharu.

PICSB akan diketuai oleh Encik Edmund Lim Meng Thong, bekas Pengarah Bahagian Jualan Antarabangsa PROTON, yang berpengalaman luas dalam strategi pengembangan pasaran serantau.

Dalam satu kenyataan, PROTON menyatakan bahawa PICSB akan berperanan penting dalam memperluas kehadiran syarikat di negara-negara sedang pesat membangun, terutamanya di rantau Selatan Global, selain terus memperkukuh pasaran sedia ada dengan pendekatan yang lebih tersusun.

Setakat ini, PROTON telah mengeksport 20,169 unit kenderaan ke 19 buah negara sejak tahun 2020, menjadikan syarikat itu sebagai antara pengeksport kenderaan utama dari Malaysia.

Tiga model paling laris dalam eksport ialah Proton Saga (10,998 unit), diikuti oleh Proton X50 (3,986 unit) dan Proton X70 (3,316 unit).

Model terbaharu, Proton e.MAS 7, turut mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya menembusi pasaran Nepal dan Trinidad & Tobago.

Sejak pelancaran awal tahun ini, sebanyak 233 unit telah dihantar ke dua negara tersebut. Sehingga Mei 2025, jumlah jualan domestik dan eksport bagi e.MAS 7 mencecah 3,632 unit.

Tahun ini juga menyaksikan beberapa kejayaan eksport penting buat PROTON, termasuk pelancaran model Proton Saga yang dipasang secara tempatan di Mesir, serta kemunculan pertama e.MAS 7 di Nepal dan Trinidad & Tobago.

Singapura dijangka menjadi destinasi seterusnya apabila model tersebut dipamerkan di The Car Expo 2025 pada Mei lalu, menandakan kemunculan semula PROTON di republik itu selepas lebih sedekad.

Sebagai anak syarikat baharu, PICSB menyasarkan untuk mengeksport 6,000 unit kenderaan pada tahun ini dan menggandakan jumlah itu menjelang 2026. Menjelang 2030, PROTON mensasarkan pertumbuhan eksport sehingga sepuluh kali ganda berbanding angka semasa.

Negara-negara yang kini menjadi destinasi eksport PROTON termasuk Brunei, Papua New Guinea, Fiji, Mauritius, Sri Lanka, Mesir, Iraq, Ghana, Angola, Kenya, Afrika Selatan, dan Zimbabwe.

Google ads
Back to top button