
KILANG EV PROTON HAMPIR SIAP, PENGELUARAN BERMULA BULAN DEPAN
PROTON bakal memulakan era baharu dalam industri automotif negara apabila kilang pengeluaran kenderaan elektrik (EV) di Tanjung Malim dijangka siap sepenuhnya pada September ini.
Sehingga kini, pembinaan infrastruktur telah mencapai 90.4 peratus, manakala pemasangan peralatan berada pada tahap 83.5 peratus. Secara keseluruhan, projek ini telah siap 86.9 peratus, hanya enam bulan selepas upacara pecah tanah pada Februari lalu.
Kilang baharu ini akan menjadi pusat pengeluaran model berasaskan platform Global Modular Architecture (GMA). Model pertama dikeluarkan ialah Proton e.MAS 7, diikuti Proton e.MAS 5 yang kini giat dipamerkan dalam siri jelajah seluruh negara.
Pada peringkat awal, fasiliti ini mampu menghasilkan 20,000 unit setahun dan boleh ditingkatkan sehingga 45,000 unit mengikut permintaan pasaran tempatan serta eksport.

Ia turut dilengkapi sistem digital moden termasuk Manufacturing Execution System (MES) dan Warehouse Management System (WMS).
Ketua Kejuruteraan Pembuatan PROTON, Wan Yousry Mohamed, berkata ujian badan kereta pertama telah berjaya dijalankan melalui proses Machine Try Out (MTO) sebagai langkah penting sebelum pengeluaran bermula.
Setakat ini, lebih 30 pekerja bukan eksekutif berkelulusan SKM dan diploma telah direkrut untuk dilatih sepenuhnya sebelum kilang memulakan operasi.
Secara keseluruhan, projek ini dijangka mewujudkan lebih 200 peluang pekerjaan baharu, selain mendapat sokongan kerjasama dengan Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) bagi pembangunan tenaga kerja mahir dalam bidang EV.
Kerjasama strategik dengan rakan kongsi dari China, Geely, turut memastikan kilang ini memenuhi piawaian antarabangsa.
Geely terlibat dalam pemilihan peralatan, latihan kakitangan di luar negara serta panduan teknikal bagi barisan pengeluaran khusus EV, termasuk pemasangan bateri dan langkah keselamatan voltan tinggi.
“Kilang ini menjadi simbol transformasi PROTON serta komitmen kami terhadap masa depan automotif yang mampan. Kami teruja untuk menyaksikan EV pertama buatan Malaysia dilancarkan tidak lama lagi,” kata Wan Yousry.
- BACA: LELAKI FLORIDA TUKAR BELI FERRARI F40 DENGAN INEOS GRENADIER – TUKAR BELI PALING RARE
- BACA: RINGBROTHERS OCTAVIA, PROJEK UBAH SUAI ASTON MARTIN DBS, 5.0L V8 FORD PERFORMANCE 805 HP!
- BACA: ATOM ASEAN 2025 – MALAYSIA KE ARAH LOJI NUKLEAR PERTAMA?
- BACA: TOYOTA VIOS HIBRID BUAT PENAMPILAN DI THAILAND – MALAYSIA BAKAL MENYUSUL?









