Buletin

PROTON IRIZ BAHARU KINI SUDAH BERADA DI PASARAN

PROTON Holdings Bhd mengeluarkan secara rasmi Proton Iriz yang diperhalusi hari ini. Model yang dipamerkan dan dibuka untuk tempahan di DRB-HICOM Autofest pada 19 Mei 2017 lalu kini boleh didapati di semua pusat pameran PROTON di seluruh negara.


“Apabila kami melancarkan model Persona pada Ogos 2016 dengan pengurangan bunyi, getaran dan kekasaran serta penjimatan bahan api yang lebih baik, ramai yang bertanyakan kepada kami sekiranya ciri-ciri yang sama boleh digunakan pada model Iriz kerana kedua-dua Iriz dan Persona menggunakan platform yang sama dengan Iriz.

Saya menjawab secara positif kerana kami sememangnya sedang melakukan penambahbaikan terhadap Iriz pada masa itu. Dan hari ini, kami telah menunaikan janji kami. Iriz kini dilengkapi dengan ciri-ciri yang diperhalusi dan ditambahbaik,” kata Dato’ Ahmad Fuaad Kenali, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

BACA: SUV PERTAMA HASIL USAHASAMA PROTON-GEELY

“Penambahbaikan yang dilakukan pada Iriz termasuk pengurangan bunyi, getaran dan kekasaran yang lebih baik, kami juga telah menambah ciri Bantuan Pemanduan Eco serta penghalusan pada penentukuran ECU yang menyediakan tindak balas selari bagi pemanduan yang lebih baik.

Varian 1.3L Executive juga menerima penambahbaikan dari segi butang penghidup enjin yang sebelum ini hanya dipasang dalam varian 1.6L. Kami juga membuat sedikit perbezaan 2 tona warna pada bahagian luaran bagi varian 1.6L Premium di mana bumbung, spoiler dan cermin sisi berwarna hitam. Bagi bahagian dalam pula dilengkapi dengan jahitan merah pada stereng dan tempat duduk separa kulit menjadikan Iriz kelihatan lebih cantik, bergaya dan menonjol,” tambah Dato’ Fuaad lagi.

“Walaupun terdapat penambahbaikan dan penghalusan dilakukan, ciri-ciri keselamatan standard dikekalkan pada Iriz di mana model ini sememangnya dikenali dengan ciri-ciri keselamatan yang hebat dan struktur Hot Press Forming (HPF). Iriz juga mendapat penarafan lima bintang dari ASEAN NCAP untuk semua varian, dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan aktif dan pasif secara menyeluruh seperti Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dengan Sistem Kawalan Tarikan, Bantuan Brek, Sistem Brek Anti-kunci (ABS), Bantuan Kawalan Cerun, ISOFIX dan top tether serta 6 beg udara untuk varian Premium bagi memastikan perlindungan optimum untuk kedua-dua pemandu dan penumpang.

Iriz diiktiraf sebagai model bertaraf ASEAN NCAP 5 bintang yang paling mampu dimiliki di rantau ini. Bagi segmennya, Iriz yang diperhalusi kini model yang selesa dan paling selamat dalam satu pakej,” Dato’ Fuaad menambah

Sejak pertama kali diperkenalkan ke pasaran pada September 2014, kami telah menjual lebih 45,000 unit Proton Iriz. Ini menjadikannya kereta Proton kedua terlaris sejak dikeluarkan, selepas Proton Saga. Proton Iriz juga memenangi pelbagai anugerah seperti Compact Hatchback Car of the Year dan People’s Choice Award di NST Car of the Year 2014, Best Industrial Design 2015 oleh Intellectual Property Corporation, Most Affordable 5-Star ASEAN NCAP Car in Malaysia di ASEAN NCAP Grand Prix Award 2016 dan Budget Car Of The Year di 2016 ASEAN Car of The Year Awards.

Pelanggan boleh mendapatkan Proton Iriz yang diperhalusi ini untuk dipandu uji dan tempahan boleh dibuat di semua cawangan PROTON Edar serta siri jelajah di seluruh negara. Iriz baharu ini didatangkan dalam 4 varian – 1.3L Standard (MT & CVT), 1.3L Executive CVT dan 1.6L Premium CVT, berharga dari RM43,800 ke RM58,800, dan boleh didapati dalam 2 warna baharu, Ruby Red dan Carnelian Brown, selain dari warna Iriz sedia ada iaitu Graphite Grey, Atlantic Blue dan Cotton White.
PROTON

GALERI

Google ads
Back to top button