
CUBA LARI SEKATAN JALAN, POLIS TRAFIK FLYING-KICK PENUNGGANG SAMPAI JATUH
POLIS Sarawak sedang menyiasat anggota Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu yang dilihat melakukan flying kick ke atas penunggang motosikal. Aksi itu membuatkan dia terjauh di Jalan Temple, Sibu, hari ini.
Tindakan itu dibuat oleh anggota berkenaan kerana mangsa cuba melarikan diri dengan menukar arah ke laluan bertentangan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail menyatakan bahawa tindakan tegas akan diambil ke atas anggota terbabit sekiranya dia didapati bersalah.
“Setakat ini, kami masih menjalankan siasatan. Tindakan akan diambil jika dia didapati cuai atau bertindak agresif ketika menjalankan tugas,” katanya.Menurut Aidi, kejadian berlaku ketika sepasukan anggota trafik membuat pemeriksaan mengejut ‘Op Motosikal’ di Jalan Temple sekitar jam 12.15 tengah hari.
Kejadian itu dirakam orang awam dan tular di media sosial, sekali gus mengundang pelbagai reaksi warganet.
Rakaman video berdurasi 14 saat itu menunjukkan seorang anggota trafik menendang penunggang motosikal yang membuat pusingan ‘U’ secara tiba-tiba selepas cuba ditahan untuk diperiks.
Pemeriksaan lanjut mendapati penunggang motosikal terbabit tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan motosikal tamat tempoh.
“Penunggang motosikal uga akan dikenakan tindakan saman kerana menunggang melawan arus dan mengubah suai ekzos,” katanya. – Harian Metro