AIRASIA TAK JADI BELI, AIRBUS RANCANG JUAL 6 PESAWAT
Airbus dilapor mahu menjual enam unit pesawat yang dibina untuk salah satu klien terbesarnya AirAsia. Langkah itu diambil selepas penerbangan tambang rendah didakwa mungkin tidak jadi membelinya.
Situasi luar biasa itu menjadi petanda bahawa krisis yang dihadapi oleh industri penerbangan sememangnya semakin teruk, kesan penularan wabak COVID-19. Malah, penganalisis menjangkakan akan ada pesawat dijual pada harga lebih murah.
Sama seperti syarikat lain yang mahu menyimpan wang tunai sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan larangan penerbangan di seluruh dunia, AirAsia menyatakan ia tidak memerlukan pesawat baharu tahun ini.
Pengeluar pesawat biasanya akan meminta pelanggan untuk mengambil jet yang telah dibina untuk mereka. Selain bersikap fleksibel ke atas tarikh penyerahan pesawat yang masih belum dibina, terutama kepada pelanggan utama mereka.
Walaupun jualan pesawat yang tidak jadi dibeli bukanlah perkara baharu, tetapi ia jarang berlaku melibatkan pelanggan berprofil tinggi. Lagipun, pengeluar biasanya ada memegang deposit. Airbus enggan memberi komen mengenai perkara ini.
Berdasarkan kepada dokumen sulit yang dilihat oleh Reuters, Airbus membuka bidaan ke atas empat unit pesawat A320neo dan dua unit A321neo yang dibina untuk AirAsia.
Pelanggan boleh mengambil pesawat berkenaan dari Perancis atau Jerman pada Jun depan, lengkap bersama peralatan tambahan yang dipesan oleh AirAsia.
Pengasas bersama AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes sebelum ini ada menyatakan bahawa kumpulan AirAsia tidak mempunyai sebarang pendapatan dengan 96 peratus pesawatnya tidak beroperasi. Namun, beliau menegaskan bahawa AirAsia kekal kukuh dan fokus untuk masa depan.
Baru-baru ini, seorang menteri kanan menyatakan penggabungan AirAsia dan Malaysia Airline dilihat sebagai salah satu pilihan untuk menyelamatkan kedua-dua syarikat penerbangan tersebut.
Airbus memberitahu pada bulan ini, ia menerima banyak panggilan daripada syarikat penerbangan untuk menangguhkan penghantaran pesawat. Tetapi ia tidak menerima pembatalan secara langsung kesan daripada wabak COVID-19.
Airbus kini mempunyai 60 buah pesawat yang sudah siap dibina, tetapi tidak boleh diserahkan kepada pelanggan. Sebahagiannya adalah kerana masalah logistik. – Reuters