
G-SHOCK UMUM ZIZAN RAZAK SEBAGAI DUTA RASMI DI MALAYSIA
Pelawak dan pelakon sensasi, Zizan Razak, kini mencipta sejarah sebagai duta rasmi pertama G-SHOCK di Malaysia!
Pemilihan ini mewakili semangat jenama jam tangan ikonik itu yang meraikan keberanian, gaya hidup aktif, dan keaslian dalam dunia hiburan, seni, sukan serta muzik.
Dari pentas lawak ke layar perak, Zizan telah membuktikan dirinya sebagai ikon serba boleh, dikenali menerusi rancangan popular seperti Raja Lawak, Super Spontan, dan filem pecah panggung seperti Polis Evo dan Abang Long Fadil.

Minatnya terhadap perlumbaan turut terserlah apabila beliau menyertai Grand Prix Malaysia pada 2024 sebagai pelumba.
Keteguhan semangat Zizan mencerminkan falsafah G-SHOCK: “Toughness is Multi-dimensional”. Sama ada di hadapan kamera atau di trek lumba, beliau terus mempamerkan sikap berani dan tidak mudah mengalah, seiring dengan jiwa G-SHOCK.
Sebagai permulaan, Zizan akan mewakili siri G-SHOCK 6900, model legenda yang meraikan ulang tahun ke-30 tahun ini. Dengan penampilan yang garang dan reka bentuk ikonik, jam ini melambangkan gaya ekspresif dan ketahanan sebenar.

Zizan kini menyertai barisan duta serantau G-SHOCK yang turut merangkumi nama besar dalam sukan seperti juara dunia kickboxing Superbon, bintang bola sepak Indonesia Rizky Ridho, dan pemain bola keranjang Filipina Dwight Ramos.
Maklumat lanjut dan kempen menarik akan diumumkan di laman rasmi www.gshock.casio.com/my dan Instagram @gshock_casio_my.







