Buletin

EV MIBOT CETUS FENOMENA DI JEPUN. CUMA RM33K, TERIMA LEBIH 2,250 TEMPAHAN

Ia bukan Toyota, Nissan atau Honda. Tetapi EV mini terbaru dari Jepun ini sedang mencuri perhatian ramai dengan tawaran harga yang terlalu murah untuk diabaikan.

Dikenali sebagai mibot, kereta elektrik satu tempat duduk itu dijual pada harga cuma ¥1 juta (sekitar RM33,000), separuh daripada harga Nissan Sakura, EV paling laris di Jepun sekarang.

Sebuah syarikat pemula dari Jepun, KG Motors kini giat mengubah landskap automotif Jepun dengan “robot mobiliti” kecil dan mesra bajet. Model sulung mereka, mibot merupakan kereta elektrik mini bersaiz 2,490mm panjang lebih kurang sebesar kart golf.

Walaupun saiznya kecil, ia direka khas untuk keperluan harian di bandar-bandar Jepun yang padat dan penuh lorong sempit.

Dengan kelajuan maksimum 60km/j dan jarak pemanduan sekitar 100km untuk sekali caj, mibot bukanlah EV berkuasa tinggi, tetapi sudah memadai untuk menyempurnakan tugasan harian seperti pergi kerja, beli barang atau hantar anak ke sekolah.

Kenapa Mibot Jadi Tumpuan?

Di Jepun, kereta kecil atau lebih dikenali sebagai “kei car” merupakan segmen paling popular dan merangkumi lebih separuh daripada jumlah keseluruhan kenderaan di sana.

Nissan Sakura, misalnya, mencatat jualan 22,926 unit pada tahun 2023. Tetapi ia dijual pada harga bermula ¥2.5 juta (sekitar RM85,000). Sedangkan mibot ditawarkan pada separuh harga. Perbezaan ketara itu pasti menggoda pembeli yang mahukan sebuah kenderaan harian mampu milik dan mudah diselenggara.

Menurut pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif KG Motors, Kazunari Kusunoki, idea menghasilkan mibot tercetus apabila dia melihat terlalu banyak kereta besar terpaksa ‘bergelut’ di jalan-jalan sempit di Jepun.

“Melihat begitu banyak kereta besar di lorong-lorong sempit Jepun, dari situlah semuanya bermula untuk saya,” kata Kusunoki.

Syarikat tersebut membuka tempahan pada musim luruh lalu dan menerima lebih 1,000 permohonan dalam bulan pertama sahaja. Sehingga Mei 2025, KG Motors telah mengumpul 2,250 tempahan lebih separuh daripada sasaran 3,300 unit yang ingin dihantar menjelang Mac 2027.

Jika berjaya, angka ini bakal mengatasi jualan EV Toyota di Jepun tahun lalu (sekitar 2,000 unit) dan menghampiri pencapaian BYD dari China yang menjual 2,200 kenderaan selepas baru setahun memasuki pasaran Jepun.

Mencabar Gergasi Automotif Jepun

Toyota, Nissan dan Honda dilihat masih ketinggalan dalam peralihan kepada kenderaan elektrik sepenuhnya (BEV). Malah, Toyota pernah menyatakan bahawa EV bukan satu-satunya penyelesaian dan ramai rakyat Jepun cenderung untuk percaya kata-kata itu.

“Disebabkan ia datang dari Toyota, ramai orang Jepun anggap ianya benar. Jadi ramai di sini percaya EV takkan jadi arus perdana,” kata Kusunoki. 

Namun KG Motors mahu mengubah persepsi itu dengan harga yang masuk akal, reka bentuk praktikal dan kecekapan tinggi dalam penggunaan harian.

Mibot Bakal Masuk Pasaran Global

KG Motors menjangkakan pengeluaran pertama sebanyak 300 unit akan bermula pada Oktober dan mula dihantar kepada pelanggan menjelang Mac 2026. Sebanyak 3,000 unit tambahan akan dieksport ke luar negara.

Syarikat itu mengakui akan menanggung kerugian pada batch pertama, tetapi meramal mula meraih keuntungan pada batch kedua. Selepas itu, mereka bercadang menghasilkan sekitar 10,000 unit EV mini setiap tahun.

Dengan permintaan tinggi, harga berpatutan,dan reka bentuk kompak yang cukup sesuai untukgaya hidup di bandar moden, mibot berpotensi menjadi game changer dalam pasaran EV bukan saja di Jepun, malah di peringkat global. Kadangkala, yang kecil itulah yang paling besar impaknya.

Google ads
Back to top button