
HERTZ JUAL MASERATI GRECALE PADA HARGA HONDA CR-V!
Kalau anda sedang mencari kereta dengan harga berbaloi walaupun pernah menjadi kereta sewa, Hertz adalah antara tempat terbaik untuk dikunjungi.
Sebagai salah satu syarikat sewa kereta terbesar di Amerika Syarikat, Hertz kerap menjual kenderaan lama mereka pada harga yang sangat kompetitif (murah). Dan ya, jenama mewah seperti Maserati pun tidak terkecuali daripada potongan harga besar-besaran ini.
Seperti yang didedahkan oleh Carscoops, Hertz kini menjual beberapa unit Maserati Grecale di pasaran AS dan banyak daripada model tersebut dijual pada harga lebih murah daripada sebuah Honda CR-V baharu.
Semua model yang disenaraikan adalah SUV Maserati Grecale. Jentera berkenaan ditawarkan pada harga bermula serendah AS$36,543 (lebih kurang RM172,000) dan mencecah sekitar AS$48,022 (sekitar RM226,000) untuk unit paling mahal.

Apa yang mengejutkan, walaupun kereta-kereta ini pernah menjadi kenderaan sewa, banyak daripadanya masih mempunyai jarak perbatuan rendah.
Unit paling murah hanya mencatat perbatuan 45,656km. Malah, ada beberapa unit lain yang kurang daripada 24,000km,= dan satu unit dengan jarak bawah 16,000km dijual pada harga hanya AS$38,999 (lebih kurang RM183,000). Memang padu!
Sebagai perbandingan, harga Grecale baharu bermula dari AS$77,900 (RM368,000). Manakala varian paling mahal iaitu versi elektrik Grecale Folgore, harga bermula AS$119,900 (RM567,000) untuk model tahun 2025.
Tapi seperti biasa, nama Maserati sering dikaitkan dengan kebimbangan terhadap isu kebolehpercayaan. Mungkin inilah yang menyebabkan ramai pembeli masih teragak-agak walaupun harga dah ‘terjun bangunan’.
Carscoops turut menyatakan bahawa ini sebenarnya adalah kali kedua Hertz menurunkan harga untuk stok Grecale mereka dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Walau bagaimanapun, sehingga kini belum ada laporan berkaitan masalah besar pada Grecale. SUV itu dibina menggunakan platform sama seperti Alfa Romeo Stelvio yang mana rekod kebolehpercayaannya pula bercampur-campur mengikut model dan tahun.
Nasib baik kat Amerika sana, kalau tak memang dah beli. Boleh bergaya bawa Maserati tetapi bayar harga CR-V!