" "
Buletin

QANTAS AIRWAYS TAWAR PENERBANGAN TANPA HAD SELAMA SETAHUN

Qantas Airways Ltd. menawarkan penerbangan tanpa had selama setahun kepada para pelanggan yang telah mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Ia merupakan insentif terbesar daripada syarikat Australia setakat ini dalam usaha untuk mempercepatkan pengedaran vaksinasi yang perlahan di negara terbabit.

Selain penerbangan tanpa had, syarikat berkenaan turut menyediakan hadiah-hadiah menarik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alan Joyce berkata, program itu akan menawarkan 10 hadiah mega yang mampu memberi keluarga seramai empat orang perjalanan percuma bersama Qantas dan unit kos rendahnya, Jetstar selama setahun.

“Ganjaran yang akan diberikan kepada penumpang yang telah divaksin sepenuhnya merangkumi baucar penerbangan serta kredit status program kesetiaan.

“Kami berhak dan berminat untuk melakukannya,”kata Joyce.

Dalam pada itu, Reuters melaporkan, syarikat-syarikat di seluruh dunia yang ingin mendapatkan keuntungan tinggi setelah aktiviti ekonomi kembali normal juga menawarkan ganjaran yang besar untuk sesiapa yang telah divaksin.

United Airlines Holdings Inc. menawarkan peluang kepada penumpang untuk memenangi penerbangan percuma.

Selain itu, beberapa kerajaan turut serta dalam memberi insentif kepada orang ramai bagi menggalakkan pengambilan vaksin.

New York mengadakan loteri percuma untuk mereka yang telah divaksin dengan hadiah utama bernilai AS$5 juta (RM20.70 juta).

New Jersey dan negeri lain pula menawarkan bir percuma kepada orang yang telah menerima suntikan vaksin.

Di Hong Kong pula, penduduk yang telah mengambil vaksin berpeluang memenangi pangsapuri bernilai AS$1.4 juta (RM5.80 juta).

Setelah mengekang wabak itu, Australia kini berjuang untuk mengatasi keraguan orang ramai terhadap vaksin.

Sekitar 4.2 juta orang daripada 26 juta orang di negara itu yang telah menerima suntikan vaksin yang pertama manakala negeri Victoria sedang menjalani sekatan perjalanan selama seminggu untuk mengawal kes wabak yang semakin meningkat.

Alan meminta syarikat di Australia yang lain untuk menawarkan insentif mereka sendiri kepada pelanggan yang telah menerima suntikan vaksin. – agensi

Google ads
Back to top button