Buletin

SYARIKAT PENERBANGAN KOREAN AIR MAHU BELI PESAING ASIANA AIRLINES

Syarikat penerbangan Korean Air menyatakan pihaknya mahu mengambil alih firma pesaing Asiana Airlines menerusi satu pembelian bernilai AS$1.6 bilion (RM6.6 bilion) sebagai langkah penggabungan selepas pandemik Covid-19 menjejaskan industri penerbangan dunia.

Larangan perjalanan di seluruh dunia susulan penularan koronavirus turut memburukkan lagi keadaan ke atas Asiana Airlines, antara syarikat penerbangan yang berdepan masalah sebelum pandemik tercetus.

“Tujuan utama di sebalik keputusan Korean Air mengambil alih Asiana Airlines pada ketika ini adalah untuk menstabilkan industri penerbangan Korea Selatan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Sebaik sahaja Korean Air melengkapkan pengambilalihan Asiana Airlines, syarikat dijangka mampu berada dalam kedudukan 10 firma penerbangan utama dunia,” menurut Korean Air dalam satu kenyataan.

Korean Air menyatakan kesediaan membayar 1.8 trilion won (RM6.6 bilion) untuk Asiana, menggunakan wang tunai daripada terbitan hak berjumlah 2.5 trilion won (RM9.28 bilion) menjelang awal tahun depan.

Pembelian itu juga termasuk dua syarikat sekutu Asiana, iaitu penerbangan tambang murah Air Seoul dan Air Busan.

“Dengan mengambil kira status kewangan Korean Air yang mungkin terjejas sekiranya pandemik Covid-19 berlanjutan, penstrukturan semula pasti berlaku membabitkan pasaran penerbangan domestik untuk menambah baik persaingan serta mengurangkan suntikan dana awam,” tambah kenyataan sama.

Asiana telah lama dibelenggu masalah kewangan hingga mendorong syarikat induk, Kumho Industrial mengambil keputusan menjual 31 peratus pegangan saham tahun lalu. Langkah itu dibuat susulan tekanan daripada kumpulan pemberi hutang.

Firma pemaju Korea Selatan, HDC Hyundai Developer pernah cuba mengambil alih Asiana tetapi terpaksa membatalkannya pada September lalu semasa pandemik melumpuhkan industri penerbangan.

Asiana mengumumkan kerugian operasi sebanyak 268 bilion won (RM996 juta) pada tempoh enam bulan pertama tahun ini dengan jumlah hutang meningkat kepada 11.5 trilion won (RM42.7 bilion). – AFP

Google ads
Back to top button