Motosikal

PETRONAS SRT OHVALE SPECIAL SERIES MINIGP. 46 UNIT SAHAJA, RM48,395 SEUNIT

Petronas Sepang Racing Team (Petronas SRT) dengan kerjasama Ohvale akan menawarkan motosikal mini edisi terhad bermula September ini.

Jentera istimewa itu yang mendapat sentuhan livery jentera MotoGP Yamaha R1 Valentino Rossi dan Franco Morbidelli dijual pada harga bermula €9,600 (RM48,395).

Petronas SRT Ohvale Special Series MiniGP yang dikhususkan untuk penggunaan di litar dibangunkan berdasarkan jentera Ohvale 160 cc GP-0 berkuasa 15 hp dan mendapat penambahbaikan berbanding model asal.

Casis asal yang diperbaharui mempermudahkan penunggang lebih tinggi, suspensi boleh laras sepenuhnya daripada Mupo pada bahagian hadapan manakala Ohlins dipasang di belakang.

Selain itu, jentera tersebut hadir dengan beberapa komponen diperbuat daripada gentian karbon seperti panel depan, winglet dan mudguard.

Dari segi sistem brek pula, ia dilengkapi brek cakera jenama J.Juan 190mm dengan kaliper radial 4-piston berdiameter 25mm.

Petronas SRT Ohvale Special Series MiniGP mendapat tayar buatan khas Pirelli Diablo Superbike bersaiz 10 inci.

Ia mendapat khidmat trenkuasa silinder tunggal ZS 4-lejang 155.5cc dipadankan komponen karburator Dell’Orto PHBH 28.

Jentera edisi istimewa berkenaan turut didatangkan sistem transmisi klac manual 4-kelajuan dengan ciri klac Ohvale Slipper keluaran pihak EVR manakala sistem ekzos merupakan jenama Arrow.

Para pembeli akan mendapat aksesori eksklusif Petronas SRT serta bekalan alat ganti dan peralatan bengkel. – inmoto

GALERI:

Google ads
Back to top button