
QJMOTOR CURI TUMPUAN DI EICMA DENGAN FORT 600 – 53HP, 54NM
QJMotor antara pengeluar yang mencuri tumpuan di EICMA ekoran membariskan beberapa model serba baharu yang akan menembusi pasaran global pada tahun 2026.
Ketika di Milan, QJMotor telah mempamerkan prototaip skuter 550cc yang dibangunkan bersama KYMCO dan diberi nama QJMotor Fort 600.

Meskipun mengguna pakai nama 600 namun, skuter ini dijanakan enjin dua silinder 550cc. Ini kerana Fort 600 dikuasakan platform sama yang terdapat pada Kymco AK550.
Hasilnya, enjin ini berupaya menjana 53hp pada 7,500rpm dan 54Nm pada 5,750rpm. Kuasa pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi CVT dengan pacuan akhir tali sawat (belt).

Selain enjin, Fort 600 ini turut berkongsi casis dan kerangka yang sama dengan AK550 termasuk suspensi jenis fork USD depan dan penyerap hentak tunggal belakang. Brek pula terdiri dari kaliper radial empat piston dari Brembo di bahagian depan dan dua piston di belakang, masing-masing dipadankan bersama cakera brek 270mm (depan) dan 260mm (belakang). ABS juga didatangkan secara standard.

Namun begitu, Fort 600 ini lebih ringan dengan hanya 215kg berbanding AK550 (238kg). Dalam pada itu, kapasiti tangki pula adalah 14L. Menariknya, Fort 600 ini lebih rendah dengan ketinggian tempat duduk adalah 750mm berbanding 785mm pada AK550.
Berdasarkan pengamatan, Fort 600 ini turut dilengkapi dengan skrin TFT, lampu LED penuh, dashcam, traction control, cruise control dan penghadang angin boleh laras.
GALERI: QJMOTOR FORT 600























