
SUPER SCOOTER DARI QJMOTOR BAKAL DEBUT TAHUN INI – 75HP, 68.2NM
Segmen skuter 500cc ke atas ketika ini didominasi dua jenama besar, Yamaha TMAX 560 daN Honda X-ADV 750 serta Forza 750.
Bagaimanapun, segmen tersebut bakal didatangi dengan pencabar baharu dari China menerusi QJMotor yang akan memperkenalkan skuter 700cc tahun ini. Berdasarkan dokumen kelulusan yang telah difailkan di China, QJMotor sedang mempersiapkan sebuah super scooter untuk pasaran global.

Menariknya, dokumen tersebut turut mendedahkan rupa skuter berkenaan yang jelas mirip Italjet Dragster 700 yang dipamerkan di EICMA tahun lalu.
Meskipun begitu, ini bukan tindakan meniru oleh QJMotor kerana pembangunan skuter dengan kod nama QJ700-8K ini sememangnya hasil kerjasama dengan Italjet. Pada masa sama, Dragster 700 yang dipamerkan tahun lalu itu jugamengguna pakai platform parallel-twin (dua silinder) 693cc yang dibekalkan QJMotor.
Untuk rekod, enjin sama turut menggerakan beberapa motosikal QJMotor dan Benelli antaranya SRV700 dan TRK 702 X.

Hasilnya, enjin dua silinder itu mampu menjana 75hp dan 68.2Nm sekaligus menyaksikan QJMotor bakal memperkenalkan skuter paling berkuasa di pasaran dunia.
Lebih menarik walaupun hadir dengan reka bentuk skuter namun motosikal ini tidak menawarkan transmisi CVT sebaliknya dipadankan bersama transmisi manual 6-kelajuan seperti motosikal konvensional. Namun, saiz tayar masih lagi seakan skuter dengan penggunaan 120/70-15 depan dan 160/60-15 belakang.

Dalam pada itu, QJMotor mendakwa model serba baharu ini mampu mencapai kelajuan maksima sekitar 200km/j dengan berat 205kg.







