Motosikal

QJMOTOR SRK 450 RR LANCAR DI MALAYSIA NOVEMBER INI – EMPAT SILINDER, 77.6HP

Baru-baru ini pihak MForce Bike Holdings telah pun memperkenalkan tiga model baharu untuk pasaran tempatan menerusi WMoto Nexy+ 180, Bobbie 450S dan Voge SR3. 

Ketika pelancaran tersebut, pihak MForce turut mempamerkan model akan datang termasuk QJMotor SRK 450 RR. Kami difahamkan model tersebut akan dilancarkan di China dengan kehadiran media tempatan yang akan melawat kilang QJMotor di sana pada November nanti. 

Pelancaran tersebut turut menyaksikan model berkenaan akan terus diedarkan di pusat jualan rasmi MForce seluruh negara. 

*QJMotor SRK 450 RR yang telah dikemas kini bagi tahun 2025

Untuk rekod, QJMotor telah pun mengemas kini reka bentuk lampu hadapan SRK 450 RR sekitar bulan Ogos lalu dan kami berasakan model dinaik taraf itu yang akan dipasarkan di Malaysia. 

Atas kertas, 450 RR ini dikuasakan enjin empat silinder 421cc 16V DOHC dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menjana 77.6hp pada 14,000rpm dan 39Nm pada 13,000rpm. 

Angka kuasa itu meletakkan SRK 450 RR setaraf dengan Kawasaki Ninja ZX-4R yang turut akan diperkenalkan oleh MODENAS (selaku pengedar rasmi) pada penghujung tahun ini. 

Antara kelengkapan yang tersenarai dalam laman web global QJMotor, SRK 450 RR ini menawarkan fork jenis USD di bahagian depan, cakera brek berkembar 300mm depan dan 240mm belakang, ABS dwi-saluran dan TCS (traction control). Brek Brembo juga didatangkan secara standard di bahagian depan dan belakang. 

Dalam pada itu, perincian lain dinyatakan termasuk:

  • ketinggian tempat duduk 808mm
  • berat 185kg
  • tangki bahan api 16.5mm
  • jarak kelegaan tanah 150mm

Maklumat lebih terperinci termasuk harga akan diumumkan sebagai pelancaran rasmi SRK 450 RR ini dibuat.

GALERI: QJMOTOR SRK 450 RR

Google ads
Back to top button