
RASMI: HONDA CIVIC TYPE R 2023 USDM, 315 HP, 420 NM, LEBIH POWER BANDING FK8
Setelah sekian lama berahsia, kini rahsia Civic Type R FL5 telah pun diketahui umum.
Mengikut spesifikasi rasmi untuk pasaran Amerika Syarikat, Honda Civic Type R 2023 ini menampilkan enjin K20C1 yang telah dipertingkatkan, menghasilkan kuasa setinggi 315 hp @ 6,500 rpm, dan daya kilas 420 Nm @ 2,600-4,000 rpm.

Enjin tersebut telah mengalami perubahan pada unit pengecas turbo, di mana saiz, bentuk dan bilangan bilah turbin telah dubah untuk menjana tekanan yang diperlukan untuk julat putaran enjin yang lebih meluas.
Aliran sistem kemasukan udara juga telah dibesarkan, sementara sistem ekzos yang lebih cekap dengan injap aktif menyumbang kepada respons, kuasa dan daya kilas yang lebih baik.

Selain itu, antara perubahan lain termasuklah bukaan jeriji yang lebih besar, radiator yang lebih besar, kipas berdiameter besar, sistem transmisi manual yang ditambahbaik, flywheel lebih ringan, sistem rev-match yang disemak semula, serta corak shift gate yang telah dioptimasikan.
Berbanding Civic Hatchback, Civic Type R FL5 ini memiliki jarak antara roda 35 mm lebih panjang, serta jarak trek roda hadapan bertambah 25 mm dan 1.9 mm di belakang berbanding Civic Type R FK8 menyumbang kepada kestabilan garis lurus yang lebih baik, serta respons stereng dipertingkatkan.
Angkup brek telah ditukar kepada unit two-piece untuk mengurangkan berat unsprung, diikuti dengan sistem penyejukan brek yang telah ditambahbaik.

Untuk ruang kabin, setiap Civic Type R FL5 ini diberikan tempat duduk sports yang lebih rendah, karpet, trim, tombol gear aluminium, serta plet Type R bersiri pada papan pemuka.
Panel instrumen telah direka semula supaya mudah untuk dibaca di samping memaparkan pelbagai informasi penting semasa pemanduan.
Terdapat mod +R yang akan menempatkan indikasi putaran enjin serta posisi gear semasa pada bahagian atas paparan.

Skrin infotainmen sembilan inci pula turut didatangkan dengan datalogger eksklusif Honda LogR yang akan memantau dan merekodkan parameter prestasi pada masa nyata, selain menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.
Terdapat sistem audio premium Bose Centerpoint dan slot pengecasan peranti pintar nirwayar Qi.
Warna-warna yang ditawarkan untuk Civic Type R FL5 ini termasuklah warna eksklusif Championship White, Rallye Red, Boost Blue, Crystal Black Pearl dan Sonic Grey Pearl.





























