Buletin

HONDA DREAM DRIVES, LALUAN PEMANDUAN TERBAIK EROPAH – RAI PENAMATAN CIVIC TYPE R!

Honda telah menghasilkan sebuah peta interaktif bagi jalan raya pemanduan terbaik di Eropah.

Projek ini sebahagian daripada acara meraikan penamatan jualan Honda Civic Type R di benua itu selepas hampir 30 tahun berada di pasaran.

Peta ini menampilkan lebih 120 laluan pemanduan yang menakjubkan di 25 buah negara.

Ia membolehkan pemandu mencari jalan raya yang mendebarkan, laluan ikonik serta beberapa permata tersembunyi untuk pengalaman jelajah jalan raya yang unik.

Panduan pemanduan istimewa ini dikumpulkan oleh Honda dengan menggunakan data dan maklum balas pakar permotoran, peminat tegar pemanduan, pemilik Civic Type R dan peminat jenama ini di seluruh Eropah.

Dinamakan sebagai Honda Dream Drives, laluan-laluan ini terbentang dari utara Scotland di UK hingga ke selatan Sepanyol.

Setiap laluan dipilih dengan teliti untuk memberikan pengalaman pemanduan terbaik, daripada selekoh yang mengujakan hingga pemandangan yang memukau.

Pemandu boleh meneroka laluan mengikut tema seperti pemandangan, pesisir pantai, rentas negara, atau pergunungan.

Pengalaman ini dipertingkatkan dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto untuk peranti mudah alih.

Peta ini menampilkan laluan ikonik seperti Stelvio Pass di Itali, Lebuh Raya Transfăgărășan di Romania dan North Coast 500 di Scotland, di samping jalan-jalan yang kurang dikenali yang disyorkan oleh peminat tempatan.

Contohnya, laluan melalui landskap gunung berapi Káli-medence di Hungary dan jalan pergunungan berliku di sekitar Pianezze, Itali, yang terkenal sebagai lokasi tahunan acara rali Marca Rally.

Honda menyatakan peta interaktif ini adalah cara yang sempurna untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Civic Type R di Eropah.

Model ini, sebagai mercu tanda prestasi dan pengendalian Honda, benar-benar menyerlah apabila dipandu dengan penuh keseronokan.

Peta ini membolehkan peminat automotif menikmati pengalaman pemanduan yang penuh potensi di mana sahaja mereka berada di Eropah, selaras dengan komitmen Honda terhadap kegembiraan memandu.

Penguna boleh mendapatkan jalan raya pemanduan terbaik di Eropah melalui laman web hondadreamdrives.com. Laman web ini boleh diakses melalui peranti mudah alih atau komputer.

Pengguna boleh mencari jalan tertentu atau mendapatkan inspirasi berdasarkan negara, jenis laluan, jarak atau tempoh pemanduan.

Setelah laluan dipilih, maklumat terperinci termasuk potensi bahaya atau penutupan bermusim akan diberikan.

Pengguna juga boleh menggunakan pautan terus ke Google Maps atau fungsi peta standard pada peranti mereka untuk navigasi.

Ringkasan Laluan Pemanduan Terbaik di Eropah

Berikut adalah beberapa laluan pemanduan terbaik yang disenaraikan dalam peta tersebut:

  • Great St Bernard Pass, Switzerland: Laluan bersejarah di pergunungan Alp yang menghubungkan Switzerland dan Itali, menampilkan pemandangan gunung yang menakjubkan.
  • German Alpine Road, Jerman: Laluan sejauh 484 kilometer ini melintasi padang rumput Alp, puncak gunung yang lasak, dan hutan yang subur. Ia juga dinilai sebagai salah satu daripada 100 tarikan utama di Jerman.
  • Vršič Pass, Slovenia: Laluan mencabar ini mengandungi 50 selekoh tajam dan curam.
  • Col de Turini, Perancis: Salah satu laluan paling terkenal dalam Monte Carlo Rally yang menawarkan pemanduan yang sangat mencabar dengan 34 selekoh tajam yang berliku.
  • Passe dello Stelvio, Itali: Laluan pergunungan terkenal ini merupakan yang kedua tertinggi di pergunungan Alp dan telah menjadi sebahagian daripada perlumbaan basikal Giro d’Italia sebanyak 13 kali.

Selamat Tinggal, Type R

Emblem merah ikonik Honda telah digunakan untuk model berprestasi tinggi yang paling berfokuskan pemandu sejak NSX Type R pada tahun 1992.

Dengan kepakaran Honda dalam sukan permotoran, model edisi terhad ini merupakan pelopor kepada siri kereta pemandu legenda yang memecah rekod.

Type R mula diperkenalkan di Eropah dengan model Integra pada tahun 1997, namun ia adalah EP3 Civic yang dilancarkan empat tahun kemudian yang benar-benar mengukuhkan kedudukan emblem merah ini.

Sepanjang lima generasi dan suku abad, Civic menetapkan piawaian baharu dalam kelas hot hatch untuk prestasi dan penglibatan pemandu. Lebih daripada 70,000 unit telah dijual di Eropah.

Civic Type R juga telah memecahkan rekod pusingan kereta untuk kereta produksi pacuan roda hadapan di litar-litar lumba terkenal di Eropah.

Catatan masa direkodkan di Spa-Francorchamps di Belgium, Magny Cours di Perancis, Estoril di Portugal dan Silverstone di UK.

Civic Type R generasi FL5 semasa masih memegang rekod untuk litar Nürburgring di Jerman dengan catatan masa 7 minit 44.881 saat.

Google ads
Back to top button