" "
Pandu Uji

HONDA CIVIC TYPE R, KERETA SPORT MANUAL SEJATI. BUKAN UNTUK BBNU

Honda Civic Type R generasi terbaru bakal menjengah pasaran automotif tidak lama lagi. Model terbaru Civic Type R ini akan diasaskan daripada model Honda Civic FL generasi ke 11. Kali ini kami bukan nak bercakap berkenaan dengan model generasi yang terbaru, tapi model FK8 yang menggemparkan dunia satu ketika dulu dengan rekaannya yang cukup agresif.

Anda boleh mengutuk penulis, anda boleh katakan penulis bersifat budak budak, tapi rekaan Honda Civic Type R FK8 ini cukup sedap dipandang di mata penulis bagi sebuah kereta sport mampu milik. Mari kita huraikan serba sedikit kenapa rekaan Honda Civic Type R ini cukup agresif

Di bahagian depan, anda akan lihat banyak lubang angin direka dibahagian bampar depan. Lubang angin ini sebenarnya ada fungsi tersendiri dan bukannya hanya untuk hiasan semata-mata.

Air curtain di bahagian sisi bampar, lubang penyejuk brek di bawah lampu kabus dan lubang hon di sebelah kanan

1. Lubang angin di bahagian depan dikenali sebagai Air Curtain akan berfungsi bersama-sama dengan Front Flick up untuk mengalirkan udara dari bahagi depan ke bahagian sisi dengan cepat. Ini bagi mengelakkan udara tadi berkumpul di depan tayar dan menjadi faktor seretan udara.

Fungsi ini juga ada pada bahagian belakang tayar dengan pemasangan skirting sisi yang dikenali sebagai Rear Flick Up iaitu untuk mengelakkan udara berkumpul di depan tayar belakang sewaktu halaju tinggi

2. Brake vents – dipasang di bawah lampu kabus depan khusus untuk mengalirkan udara laju pada angkup dan cakera brek. Ia bertujuan menyejukkan brek kerana Civic Type R mampu membrek dan berhenti dalam jarak 43 meter pada halaju 110km/jam.

3. Lubang Hon – ada satu lubang untuk hon di sebelah kanan jeriji bampar bawah

4. Hud Scoop – biasa digunakan pada kenderaan Subaru bagi memaksa angin ke intercooler. Tapi bagi Civic Type R, Hud Scoop akan memaksa angin sejuk masuk dan mengeluarkan angin panas dari ruangan Enjin.

Pada masa yang sama, ia akan membantu dari segi aerodynamic dengan mengurangkan LIFT pada di bahagian depan kerat pada halaju tinggi. Ada satu penutu aluminium yang berfungsi menghalakan udara sejuk serta memastikan air hujan tak masuk ke ruangan enjin

5. Lubang Angin di Fender – sengaja direka lebar kerana tayar Civic Type R sangat lebar dan melindungi tayar dari angin. Lubang udara di bahagian ini akan mengasilkan aliran udara yang baik di bahagian sisi dan bersambung dengan lubang udara Air Curtain depan

6. Spoiler belakang – menghasilkan tekanan downforce sebanyak 30kg pada halaju 200km/jam. Ia sengaja direka tinggi sebab menghapuskan titik buta ketika mengundu. Maaf ini kereta sport, tiada kamera undur. Ruang kargo belakang adalah sebesar 414 liter

7. Vortex generator – dipasang di bahagian bumbung bagi meluruskan udara terus kepada spoiler belakang

8. 3 Ekzos – berat flywheel dikurangkan sebanyak 25% menyebabkan bunyi ekzos berkurang ketika dipandu perlajan. Honda menambah satu ekzos kecil di tengah dengan resonator terbina dalam bagi menghasilkan bunyi enjin yang sedap ketika dipandu perlahan

Pada halaju tinggi, injap khas akan tertutup dan menghalakan asap ekzos ke 2 ekzos yang lebih besar bagi mengurangkan bunyi “boom” dalam kabin.

Ok sekarang anda sudah faham kenapa Honda Civic Type R direka dengan sangat ekstrem, semua rekaan ini memberi fungsi apabila dipandu laju di litar. Selain dari aspek rekaan, jurutera Honda juga menghasilkan cesi yag lebih seimbang berbanding dengan cesi Honda Civic Type R FK2

Agihan berat di bahagian depan menjadi 62.5% (semakin kurang) manakala berat di bahagian belakang menjadi 35.5% (semakin berat). Suspensi di bahagian belakang pula diubah kepada geometri MultiLink berbanding Torsion Beam bagi FK2.

Walaupun nampak lebih kompleks, Civic Type R FK8 hanya bertambah 10kg sahaja menjadi 1380kg. Ajaib kan. Bukan itu saja, malah agihan brek juga diubah menjadi lebih berat di bahagian belakang dengan nisbah 72.8:27.2 (depan:belakang). Pendek kata semua perubahan ini bagi memastikan kawalan yang lebih stabil di selekoh

Sebaik sahaja anda buka hud depan, anda akan nampak enjin K20C dengan kemasan warna merah. Ia dipadankan dengan teknologi VTEC di bahagian injap ekzos bagi melepaskan lebih banyak gas ekzos dan mengurangkan masalah turbo lag.

Bagi pasaran Malaysia, ia ditala pada 306 kuasa kuda dan 400Nm tork seawal 2500 RPM dengan petrol 95. Bagi pasaran luar negara, ia berupaya menjana 316 kuasa kuda dengan petrol RON lebih tinggi. Unit turbo pula datang dengan tekanan setinggi 22.8 psi, paling tinggi yang pernah dibuat oleh Honda

Bagi mengurangkan masalah ketukan, bahagian bawah piston disejukkan dengan 3 pancutan jet minyak enjin. Semua injap diisi dengan Sodium bagi tujuan penyejukan. Nisbah mampatan pula ditetapkan pada 10.8:1, cukup tinggi untuk enjin turbo

Dalam keadaan pemanduan normal, enjin ini berupaya beroperasi dengan campuran udara dan petrol Lean iaitu hanya sedikit sahaja petrol berbanding dengan udara. Aci sesondol pula dihasilkan dengan rekaan berongga bagi mengurangkan berat komponen dan respon enjin pantas

Rod penyambung pula dihasilkan dengan kaedah forging atau tempaan berbanding iron cast bagi menambah kekuatan. Berat flywheel dikurangkan sehingga 25% bagi respon enjin yang lebih pantas dan menghapuskan masalah turbolag.

Honda memang dikenali sebagai antara pembuat gear manual yang puas untuk dibawa bermain. Tombol gear dihasilkan daripada aloi aluminium disambungkan dengan sambungan mekanikal yang pendek. Pedal klac pula mesra kaki dan lutut walaupun lutut penulis pernah cedera ketika bersukan dulu.

Walaupun mengharungi kesesakan jalanraya, lutut penulis tidak terasa ngilu atau sakit ketika megoperasikan pedal klac. Jurutera Honda juga memasang mekanisme khas anti stall bagi mengelakkan enjin Civic Type R mati ketika memandu perlahan

Bukan itu sahaja, sama seperti GR Yaris ia juga dipasang dengan fungsi Rev-Match atau Auto Blip yang akan menaikkan bacaan RPM sehingga 1500 RPM setiap kali penukaran gear dibuat. Jika anda seorang pemandu professional, fungsi ini boleh dimatikan. Tapi kalau amatur seperti penulis, biarkan sahaja ia aktif.

Roda stering pula memberikan komunikasi 2 hala yang pantas, baik ketika jalan lurus ataupun di selekoh. Ada 3 mode yang boleh dipilih samaada Comfort, Sport atau R+ yang akan mengubah tetapan stering ketika memandu. Tapi kebanyakan masa penulis menggunakan mode Comfort untuk kegunaan seharian

Stering ini sebenarnya cukup istimewa bagi Honda kerana mereka cuba menghasilkan sebuah kereta pacuan depan bagi kekal ringan dan lincah. Masalahnya jika semua 306 kuasa kuda dihantar ke tayar depan, kuasa enjin tadi akan mempengaruhi stering ketika pecutan mula dibuat

Damper fork berwarna ungu

Bagi menghapuskan masalah ini, suspensi Topang McPherson di bahagian depan direka supaya menghasilkan 2 paksi yang berbeza dengan pengenalan damper fork khas. Satu paksi untuk stering dan satu paksi untuk penyerap hentak bekerja bebas daripada dipengaruhi oleh kuasa enjin

Jadi jika anda tekan rapat pedal minyak di lampu isyarat, stering akan kekal lurus ke depan tanpa drama. Tapi kalau anda perlukan kuasa membrek, angkup brek dan cakera brek Brembo di depan sedia membantu.

Angkup brek depan datang dengan 4 piston dan rotor brek dihasilkan dengan lubang atau cross drill bagi tujuan sejukan. Angkup brek belakang pula dilengkapkan dengan 2 piston dan kemasan warna merah. Semua ini cukup untuk menghentikan Civic Type R tanpa sebarang drama

Komunikasi pemandu dengan Civic Type R juga dibantu dengan penggunaan seat bucket balutan baldu berwarna merah dan juga hitam. Walaupun kusyen ini ala-ala perlumbaan, ia menawarkan keselesaan yang lebih berbanding kusyen biasa sehinggakan isteri penulis turut memujinya.

Sokongan di bahagian atas dan bawah di bahagian belakang juga adalah cukup. Bolster yang disediakan berupaya mengelakkan tubuh pemandu daripada terlempar keluar ketika selekoh laju. Sokongan peha cukup sampai ke lutut. Pendek kat memang sangat puas hati

Sebaik sahaja anda menekan pedal minyak, anda dapat rasa tujahan kuasa enjin secara terus pada badan sehingga menyebabkan badan anda tersandar ke belakang. Jika anda menukar pada mode pemanduan Sport, maka kuasa enjin terasa lebih cepat.

Stering akan menjadi sedikit keras serta lantunan penyerap hentak juga menjadi sedikit agresif. Penulis sempat mencuba mode pemanduan R+ di laluan lurus tertutup bagi menguji pecutan enjin. Kenyataan bahawa masa yang diambil bagi pecutan 0-100km/jam dalam 5.7 saat adalah benar.

Atas sebab keselamatan, penulis nasihatkan agar mode ini hanya digunakan untuk trek jika anda tidak cukup mahir dengan Civic Type R. Terlalu buas untuk pemandu amatur. Jika anda memasuki selekoh, respon cesi pada input stering juga pantas.

Tali pinggang keledar warna merah

Ia menjadikan masalah understeer yang biasa dialami oleh kereta pacuan depan dengan enjin berada di depan tidak wujud bagi Civic Type R. Kualiti kawalan stering dan tindakbalas bahagian belakang kereta boleh dikatakan setara dengan jenama mewah buatan Jerman

Pada masa yang sama, kestabilan kenderaan di jalan lurus juga tidak perlu dipertikaikan. Tanamkan kaki anda pada pedal minyak dan nikmati sentakan ganas pada badan anda ke arah kusyen bucket. Memang rakus betul enjin K20C ini.

Respon enjin juga adalah pantas, seperti enjin aspirasi normal dengan sesaran besar bukannya enjin dengan turbo. Di saat pengeluar lain menggunakan transmisi auto, adalah satu nikmat besar dapat menekan klac, memasukkan gear dengan “thud”, lepas klac serta merasai G Force pada tenpat duduk

Pada kebanyakan masa penulis memang menggunakan mode pemanduan Comfort untuk perjalanan jarak jauh, ibarat Civic Type R sebuah gran turismo. Bila perlukan tindakbalas pantas, barulah mode Sport digunakan.

Civic Type R juga datang dengan brek parkir elektrik, jadi anda boleh merehatkan kaki kiri seketika di persimpangan lampu isyarat dengan ciri Brake Hold. Jadi kaki kanan anda pun boleh berehat sama daripada menekan pedal brek.

Dari segi aspek keselamatan, ya ini memang Honda Civic Type R yang lama. Tapi kita harap model baru yang akan dilancarkan nanti datang dengan Honda Sensing, sistem pemanduan adaptif, kamera undur, Honda Lane Watch, Android Auto dan juga Apple Car Play

Oh untuk anda yang tidak tahu menggunakan gear manual, minta maaf banyak-banyak kerana kereta ini bukan untuk anda walaupun anda banyak duit. Ketika dilancarkan dulu Honda Civic Type R datang dengan harga RM 302,000 satu harga yang boleh dicapai oleh peminat dengan prestasi yang mengagumkan

Cuma kalau anda tidak tahu membawa gear manual, mungkin anda kena pilih kereta lain dengan transmisi automatik sebab kereta ini bukannya kereta untuk anda berlagak. Anda kena pandu kereta ini dan belajar guna gear manual, bukannya kereta yang pandu anda dengan segala teknologi canggih

Google ads
Back to top button