Buletin

HONDA CIVIC TYPE R GENERASI BAHARU MUNGKIN TERIMA KOTAK GEAR AUTO 6 KELAJUAN

Honda kini dilapor berada dalam landasan tepat untuk memperkenalkan Civic Type R generasi baharu yang dijadual dilancarkan pada pertengahan tahun ini. 

Media Jepun melaporkan hot hatch yang ditunggu ramai itu bakal ditawarkan dengan enjin sama dengan Type R sedia ada. 

Honda masih meletakkan kepercayaan pada enjin K20C1 yang sudah digunakan pada dua generasi Type R. Enjin turbo 2.0 empat silinder itu mampu menjana kuasa 306hp dan tork 400Nm yang digandingkan dengan kotak gear manual enam kelajuan. 

Bagi meningkatkan tahap maklum balas dan karekteristik enjin tersebut, Type R baharu perlu mempunyai julat kuasa tork di antara 2,500 hingga 4,500rpm. Bagi memenuhi trend di pasaran global, Honda dikatakan sedang menimbang untuk menggunakan transmisi automatik, pertama buat Type R. 

Jenis kotak gear sama ada klac berkembar atau torque converter masih belum dapat dipastikan. Namun, timbul khabar angin bahawa ia akan menawarkan enam kelajuan. 

Memandangkan kuasa enjin kekal sama, kita boleh menjangkakan jentera itu lebih pantas kerana ia lebih ringan dan mempunyai ketegaran badan yang tinggi. 

Pengenalan Type R baharu tidak akan mengambil masa terlalu lama kerana Honda sedang sibuk menguji jentera berkenaan sejak beberapa bulan lalu. Foto terbaharunya juga telah dirakam di litar Suzuka di samping model Type R terdahulu. 

Google ads
Back to top button