Buletin

CIVIC TYPE R RAIH ANUGERAH TOP GEAR CAR OF THE YEAR 2022!

Harus diakui kenderaan dengan janaan teknologi elektrifikasi semakin banyak dikembangkan dan dilambakkan ke pasaran pengguna.

Tidak perlu pergi jauh, lihat sahaja di negara kita dengan pelbagai model hibrid dan elektrik penuh. Dari jenama massa hinggalah kepada pengeluar mewah masing-masing ada produk yang ditawarkan.

Cumanya pasaran tertunggu-tunggu model yang mampu dimiliki oleh ramai pengguna.

Di sebalik kepesatan itu, ada pengeluar antarabangsa yang masih tegar dengan produk tradisi mereka.

Sebagai contoh Honda Civic Type R yang kekal dengan enjin turbo dan transmisi manual. Tiada langsung teknologi elektrifikasi dan cuma canggih dengan Honda Sensing dan Honda LogR.

Penawaran tersebut sangat dihargai dan boleh dikatakan beberapa generasi akhir sebelum dunia diselimuti teknologi elektrifikasi.

Satu lagi yang mengujakan apabila Honda Civic Type R memenangi anugerah Car of the Year 2022 oleh TopGear.com.

Malah, Civic Type R turut diiktiraf sebagai Hot ‘Hatch of the Year oleh TopGear.com. Ini satu pengiktirafan yang baik di kala banyak kereta-kereta canggih dan mesra alam berada di pasaran.

Ini juga menunjukkan masih ada ruang untuk kereta dengan teknologi konvensional dan bagaimana transmisi manual dihargai.

Merentasi enam generasi, Civic Type R telah melalui pelbagai evolusi untuk menjadi sebuah kereta dengan enjin di depan dan pacuan roda depan yang terbaik untuk pelanggan.

Ini satu lagi formula yang dipegang oleh Honda, Civic Type R kekal dengan pacuan roda depan dan bukan mudah untuk menala enjin buas dengan bentangan pacuan sebegitu.

Apa tidaknya, Honda boleh sahaja menggunakan pacuan semua roda atau transmisi klac berkembar tetapi bukan itu yang dilakukan.

Selain itu, Civic Type R baharu adalah sebuah kereta yang boleh dipandu secara harian dan kemudian dipandu di litar pada hujung minggu.

Penyampai, BBC Top Gear, Chris Harris sangat menghargai usaha Honda dalam membangunkan Civic Type R.

“Saya sangat gembira Honda mempunyai keberanian untuk membangunkan hot hatch baharu pada masa tiada sesiapa pun mahu membangunkannya.

“Saya juga diperingatkan tentang bagaimana kereta ini begitu sesuai untuk jalan raya di United Kingdom.

“Saya sukakan perhatian yang diberi kepada warisannya seperti Alcantara merah, tuil gear besi dan ianya kereta yang buatkan saya tersenyum.

“Saiznya betul di dalam dunia yang segala-galanya berlebihan dan terlebih kuasa, kereta ini betul-betul tepat pada sasaran.

“Apabila memandu di Dunsfold (litar ujian TopGear), saya berkelakuan nakal dan itulah yang penting.” katanya.

Tahukah anda apa yang aneh? Di dalam barisan kenderaan Honda di United Kingdom (UK), Civic Type R adalah satu-satunya model tanpa teknologi hibrid atau elektrik!

Di UK, Civic Type R dijual daripada 46,995GBP (RM251,634.49)

BACA: HONDA BANGUNKAN MODEL SEL BAHAN API HIDROGEN DARI CR-V!

BACA: KENAPA GEAR MANUAL BUATAN HONDA SANGAT BAGUS DAN PALING SERONOK DIGUNAKAN?

BACA: HONDA PILOT 2023 DIPERKENAL DI AS, BESAR DARIPADA CR-V!

Google ads
Back to top button