Artikel Pilihan

REKAAN KERETA MESTI BERTAHAN SELAMA SEPULUH TAHUN SEBELUM DIREKA SEMULA – INI ADALAH KEPUTUSAN TOYOTA

Toyota bakal membuat satu revolusi dalam proses pengeluaran kenderaan mereka. Berdekad lamanya kalau kita perhatikan Toyota sentiasa memperbaharui model-model utama mereka setiap empat ke lima tahun. Ia kemudian dipanjangkan kepada tujuh tahun menjelang tahun 2000. Bayangkan ada seorang kawan abang yang beli sebuah Corolla Altis dan tak sampai setahun dah keluar model baharu. Kesian kan?

Kini Toyota bakal memanjangkan tempoh tersebut kepada sembilan ke sepuluh tahun. Dengan kata lain tiada perubahan besar akan berlaku pada rupa paras model-model ini tapi proses facelift masih diperkenalkan setiap tahun begitu juga dengan proses naik taraf perisian.

Tengok contoh Camry yang lebih banyak ke arah proses face lift dan bukannya perubahan ke arah generasi baharu sepenuhnya. Tapi masih nampak lawa dan moden. Macam pepatah orang putih la “Benda tak rosak buat apa nak baiki”. Jualannya pun masih laris.

Menurut Nikkei, strategi baharu Toyota ini mungkin memberikan mereka sedikit fleksibiliti untuk lebih fokus kepada elektrifikasi. Pada masa yang sama ia juga akan mengukuhkan kedudukan Toyota dari sudut jualan balik kenderaan keluaran mereka. Memang tak dinafikan harga pasaran kereta terpakai keluaran Toyota memang sangat stabil berbanding kereta-kereta dari… err… Wakanda ataupun Isketambola.

Langkah ini juga sebenarnya berkait rapat dengan masalah permintaan kenderaan Toyota yang terlalu tinggi berbanding proses pengeluaran. Land Cruiser contohnya memang mempunyai tempoh menunggu yang agak panjang. Jadi kalau dah ramai sangat peminat yang mahu memilikinya tak perlulah ia direka semula. Bini dah lawa nak mekap apa ke bendanya.

Kitaran produksi yang lama juga akan menstabilkan bekalan alat ganti. Pembeli pun berpeluang memiliki model edisi terhad yang sentiasa diperkenalkan saban tahun. Susut nilai pun dah pasti akan lebih perlahan. Tengok apa yang jadi pada model-model lama bila model terbaru dikeluarkan. Turun harga dik…

Bijak tak langkah Toyota ni? Sudah tentu generasi lama bakal muncul tapi prosesnya diperlahankan sikit. Contohnya GR Yaris. Dah lama keluar kan? Tapi sebab masih laris macam goreng pisang Seman Kerinting kenapa nak ganti dengan model baharu?

Google ads
Back to top button