Artikel Pilihan

AUDI MASIH SETIA DENGAN ENJIN 5 SILINDER

Enjin lima silinder pernah menjadi simbol kompromi bijak antara kuasa dan masalah berat pada era sebelum teknologi moden, dan Audi masih mengekalkan warisan ini sehingga kini. Dari model pertama Audi 100 pada tahun 1970-an hingga model terkini RS3 2026, enjin 5-silinder masih menarik perhatian peminat kereta kerana kombinasi unik antara prestasi, bunyi dan karakter yang tidak dapat ditiru oleh enjin empat atau enam silinder biasa.

Masalah Lama: Karburetor Tidak Sesuai untuk 5 Silinder

Pada awalnya, salah satu cabaran utama untuk enjin lima silinder ialah penggunaan sistem karburetor tradisional yang menghasilkan masalah unik. Dengan bilangan silinder ganjil, sukar bagi karburetor untuk mengagihkan campuran bahan api dan udara secara tepat ke setiap silinder.

Akibatnya, prestasi enjin menjadi tidak sekata, dan pengeluar terpaksa mencari kompromi dalam kuasa dan kelancaran putaran enjin. Inilah antara sebab enjin lima‑silinder tidak begitu popular ketika itu berbanding dengan enjin 4 silinder, 6 silinder atau V6.

Era Suntikan Bahan Api (EFI) Menyelamatkan Enjin 5 Silinder

Masalah ketidakseragaman campuran bahan api kini hilang sepenuhnya dengan penggunaan sistem fuel injection moden. Suntikan elektronik (EFI) membolehkan setiap silinder menerima jumlah bahan api yang tepat, dikawal oleh ECU mengikut rpm, beban enjin, dan suhu.

Dengan itu, enjin lima‑silinder moden bukan sahaja menjadi lebih stabil dan responsif, tetapi juga dapat bersaing dengan enjin empat atau enam silinder dari segi prestasi dan kecekapan bahan api. Berbanding dengan enjin lama, enjin 5 silinder kini dipasang dengan turbo.

Menambahkan turbo pada enjin lima‑silinder membawa beberapa cabaran teknikal, terutamanya berkaitan penyebaran tekanan (boost) akibat bilangan pulsasi yang ganjil. Tekanan turbo mungkin tidak sekata ke semua silinder jika manifold atau sistem turbo tidak direka dengan teliti. Namun, dengan rekaan manifold turbo khusus, twin-scroll turbo dan ECU pintar, isu ini dapat dikawal sepenuhnya.

Selain itu, enjin lima‑silinder mempunyai getaran semula jadi yang sedikit lebih terasa berbanding enam silinder. Tetapi sistem turbo moden juga menghasilkan bunyi yang unik dan menyeronokkan kepada enjin 5 silinder Audi dan salah satu sebab peminat Audi begitu menghargai 2.5L turbo RS3. Sistem penyejukan dan intercooler yang baik juga memastikan enjin tahan panas, membolehkan output sehingga 400+ hp tanpa masalah overheating.

Bunyi garau enjin lima silinder memberikan pengalaman pemanduan yang unik, ia dihasilkan oleh bilangan silinder ganjil dan urutan pencucuhan unik 1‑2‑4‑5‑3, yang bergilir-gilir antara pasangan silinder yang berdekatan dan yang lebih jauh pada selang 144 darjah putaran crankshaft.

Ini memberikan enjin 2.5 TFSI rentak dan karakter bunyi yang sangat istimewa. Rekabentuk exhaust manifold juga menyumbang kepada bunyi unik ini melalui masa aliran gas ekzos yang berbeza antara injap ekzos dan turbocharger.

Sistem flap ekzos sepenuhnya boleh ubah yang diperkenalkan pada RS 3 Sportback generasi ketiga dan RS 3 Sedan generasi kedua pada tahun 2021 menambah spektrum bunyi dan menjadikannya lebih terasa. Flap ini mengambil pelbagai kedudukan pertengahan bergantung pada mod Audi drive select yang dipilih samaada dalam mod dynamic, RS Performance, dan RS Torque Rear, flap terbuka lebih awal berbanding mod pemanduan lain yang menjadikan ciri bunyi yang mengasyikkan lebih ketara.

Apabila diperkenalkan pada 2016, fokus utama ialah prestasi tinggi dan ringan. Dalam Audi RS 3, enjin yang dikenali secara dalaman sebagai EA855 Evo Sport ini menghasilkan 400 PS dan 500 Nm tork. Enjin 2.5 TFSI ini menawarkan pecutan mid-range yang sangat baik, boleh memecut dari 0 hingga 100 km/h dalam 3.8 saat dan mencapai kelajuan maksimum sehingga 290 km/h.

Singkatan TFSI merujuk kepada turbocharging dan suntikan terus (direct injection). Enjin 2.5 TFSI menggunakan dual injection. Satu unit ke dalam intake manifold dan satu terus ke ruang pembakaran serta sistem Audi valvelift untuk kawalan injap ekzos secara berubah-ubah.

Ini membolehkan pengawalan campuran bahan api/udara yang lebih tepat, menghasilkan kuasa optimum sambil mengurangkan penggunaan bahan api. Dalam enjin lima‑silinder ini, bahan api disuntik pada 250 bar, manakala turbo besar menghasilkan boost maksimum 1.5 bar.

Kepala silinder, bearing, piston, dan crankshaft direka supaya sangat tahan lasak. Banyak komponen enjin menggunakan bahan ringan, yang meningkatkan respon enjin. Secara keseluruhan, enjin lima silinder ini mempunyai berat sekitar 160 kilogram dan panjang kurang daripada 50 cm, menjadikannya sangat kompak. Rekabentuk long-stroke enjin (bore 82.5 mm x stroke 92.8 mm) ini sesuai untuk pemasangan secara transverse.

Crankcase enjin 2.5 TFSI diperbuat daripada aluminium, yang secara drastik mengurangkan berat berbanding komponen besi tuang sebelum ini. Crankshaft pula berlubang, sekali gus menyumbang kepada berat rendah enjin lima silinder.

Berbanding crankshaft pepejal, kurang jisim perlu diputar, yang seterusnya meningkatkan responsif enjin. Audi juga menggunakan bahan ringan lain, seperti oil pan magnesium dan pulley tali sawat aluminium.

Langkah-langkah menyeluruh diambil untuk mengurangkan geseran dalaman, kehausan, dan penggunaan bahan api, seterusnya mengoptimumkan output kuasa. Antaranya termasuk cylinder liner bersalut plasma dan saluran minyak khas pada dasar piston aluminium untuk meningkatkan penyejukan.

Sistem pengurusan haba inovatif dengan switchable coolant pump juga mengurangkan geseran dan meningkatkan kecekapan bahan api. Sebagai contoh semasa tempoh pemanasan pendek selepas cold start, pam air boleh ubah tidak mengalirkan coolant pada kepala silinder, membolehkan enjin 2.5 TFSI mencapai suhu operasi lebih cepat.

Pam minyak aluminium juga dikawal mengikut permintaan yang digabungkan dengan sistem Audi valvelift turut menyumbang kepada peningkatan kecekapan.

Pam minyak menyesuaikan tekanan minyak mengikut keperluan semasa, manakala sistem Audi valvelift pada sisi ekzos mengubah tempoh buka injap dalam dua tahap mengikut beban dan kelajuan. Untuk penggunaan sederhana pada beban rendah dan separa, dan untuk responsif langsung serta pecutan mid-range cemerlang pada beban penuh.

Bunyi khas enjin lima‑silinder ini turut diperkukuhkan oleh sistem ekzos RS sports pilihan, yang menghasilkan bunyi lebih sporty lagi. Walaupun enjin lima‑silinder kini jarang, Audi masih mengekalkannya pada beberapa model prestasi tinggi. Antara yang terkini ialah:

  • Audi RS3 Sedan & Sportback — menggunakan enjin 2.5L turbo 5-silinder, menghasilkan prestasi tinggi dan bunyi khas.
  • Audi RS Q3 / RS Q3 Sportback — juga menggunakan versi 5-silinder 2.5 TFSI pada varian prestasi.

Sebaliknya, kebanyakan model Audi lain seperti A3, A4, A6, Q5 kini menggunakan enjin 4-silinder VW Group (EA888/EA855) atau V6/V8 untuk model lebih besar.

Masa Depan Enjin 5 Silinder Audi

Audi sendiri menyatakan bahawa enjin lima silinder akan kekal sekurang-kurangnya 10 tahun lagi, walaupun standard emisi semakin ketat. Teknologi turbo moden dan sistem suntikan bahan api memastikan enjin ini masih relevan dari segi prestasi dan pengalaman pemanduan.

Tambahan pula, laporan terbaru menunjukkan Volkswagen mungkin akan menggunakan enjin lima silinder Audi pada model prestasi tertentu di masa depan, membuktikan warisan enjin ini tidak akan pupus begitu sahaja. Untuk peminat automotif, ini bermakna bunyi unik, respons enjin yang istimewa, dan karakter lima silinder akan terus hidup di jalan raya untuk beberapa tahun lagi.

Google ads
Back to top button