
CHERY EXCEED EX7 – SUV PERTAMA DI DUNIA DENGAN BREK ELEKTRONIK MEKANIKAL
Pengeluar automotif China, Chery Automobile, secara rasmi mengumumkan bahawa model Exeed EX7 akan menjadi kereta produksi besar pertama di dunia yang dilengkapi dengan teknologi brek Electronic Mechanical Braking (EMB). Sistem brek ini dijangka diperkenalkan apabila EX7 dilancarkan pada suku pertama tahun ini.
Menurut Li Xueyong, Naib Presiden Eksekutif Chery, pembangunan sistem EMB mengambil masa lebih tiga tahun kerana jurutera syarikat perlu mengatasi pelbagai cabaran teknikal yang rumit termasuklah masa tindak balas setara milisaat, kawalan yang sangat tepat, dan tahap kebolehpercayaan yang amat tinggi memandangkan ia berkaitan keselamatan.
Berbeza dengan brek tradisional yang menggunakan saluran hidraulik atau udara bertekanan, sistem EMB sepenuhnya menggunakan isyarat elektrik untuk menghantar arahan brek kepada setiap roda. Ini bermakna tiada lagi pam brek atau sistem hidraulik sebaliknya sistem brek dikawal terus melalui komponen elektronik.
Teknologi ini bukan sahaja mampu memendekkan jarak hentian, tetapi turut memberi tindak balas yang lebih pantas dan lebih stabil, terutamanya apabila digabungkan dengan sistem casis terkini Chery yang dinamakan “Flying Fish Chassis 3.0”. Chery menggambarkan sistem EMB ini memberikan EX7 ciri pintar yang meningkatkan kestabilan dan keselamatan dalam pelbagai keadaan pemanduan.
Model EX7 pada asalnya dikenali sebagai Exeed Exlantix ET7, sebelum ditukar nama kepada EX7. Dalam dokumen pendaftaran kepada pihak berkuasa industri China April lalu, EX7 didedahkan mempunyai versi range-extender dengan bateri sebesar 39.8 kWh yang menghasilkan jarak elektrik sekitar anatara 182–203 km, serta versi EV dengan bateri besar sekitar 97.7 kWh, yang dijangka memberi jarak pemanduan sehingga 682–726 km.
Sistem EMB yang dibina tanpa komponen hidraulik atau pneumatik ini dilihat sebagai arah tuju brek automotif masa depan dengan teknologi berkaitan rapat dengan trend elektrifikasi dan integrasi pintar bagi kenderaan moden, terutama EV dan sistem pemanduan autonomi

