
LHDN BONGKAR KARTEL KENDERAAN MEWAH ELAK CUKAI RM70 JUTA
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) membongkar ketidakpatuhan cukai sebuah syarikat yang disyaki terbabit dalam rangkaian kartel jual beli kenderaan mewah, dengan kegagalan melaporkan pendapatan sebenar daripada transaksi jualan dianggarkan sekitar RM70 juta.
LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya melaksanakan operasi penguatkuasaan terhadap syarikat berkenaan, membabitkan premis perniagaan, kediaman pengarah syarikat dan sebuah firma juruaudit di Lembah Klang semalam.
“Menerusi operasi ini, tindakan penggeledahan dijalankan bagi mendapatkan dokumen dan bahan bukti berkaitan ketidakpatuhan cukai.
“Siasatan awal mendapati syarikat itu gagal melaporkan pendapatan sebenar daripada transaksi jualan berjumlah anggaran RM70 juta,” menurut kenyataan itu.
Kes kini disiasat di bawah kesalahan subseksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 terhadap syarikat dan perenggan 113(1)(a) ACP 1967 terhadap pengarah syarikat.
“(Operasi ini) sejajar dengan usaha kerajaan dalam memerangi kartel dan sindiket penyeludupan yang berakar umbi sejak puluhan tahun hingga menjejaskan hasil negara,” katanya.
LHDN menegaskan bahawa antara kes pelarian cukai yang sedang dan akan diambil tindakan pendakwaan, termasuk kes-kes membabitkan kegiatan perlombongan emas, penipuan (scam), penyalahgunaan status kebajikan untuk mengaburi transaksi, hasil perjudian, aktiviti haram lain, serta perniagaan milik warga asing yang gagal melaporkan pendapatan.
“Langkah ini menunjukkan komitmen berterusan LHDN untuk memastikan setiap pihak mematuhi peraturan percukaian dan membendung ketirisan hasil negara.
“Justeru, LHDN kekal teguh dalam memastikan integriti sistem percukaian negara terus terpelihara dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana cubaan mengelak cukai dan memastikan setiap pihak menunaikan tanggungjawab cukai mereka demi kesejahteraan negara dan rakyat,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan operasi berkenaan, yang juga sebahagian daripada tindakan bersasar LHDN dalam memperkukuh pematuhan cukai, khususnya dalam sektor yang membabitkan transaksi bernilai tinggi seperti kenderaan mewah.
“Ketidakpatuhan yang membabitkan jumlah besar bukan sahaja merencatkan hasil negara malah menjejaskan keadilan sistem percukaian dan tidak harus dipandang ringan,” katanya. – Harian Metro
- BACA: REKAAN KERETA MESTI BERTAHAN SELAMA SEPULUH TAHUN SEBELUM DIREKA SEMULA – INI ADALAH KEPUTUSAN TOYOTA
- BACA: TOYOTA COROLLA CROSS ENJIN HIDROGEN – BUNYI LAIN MACAM, RASA MACAM ICE!
- BACA: LEPAS LAMA BERDEGIL, TESLA KHABARNYA SETUJU APPLE CARPLAY JADI CIRI WAJIB
- BACA: GWM PAMER TEKNOLOGI HIBRID PINTAR DI GATE 2025, UMUM GWM WEY G9 TIBA AWAL 2026



