Artikel Pilihan

KISAH LORI JIMAT TAYAR, BUKAN MAIN ANGKAT JE

Dalam dunia pengangkutan berat, bukan semua ciri yang ada pada lori dibuat sekadar kosmetik. Salah satu aspek yang sering disalah anggap ialah gandar tambahan pada kepala lori (prime mover) atau bahagian ekor yang diangkat bila tidak digunakan.

Hakikatnya, sistem ini wujud atas sebab teknikal yang sangat praktikal dan berkait rapat dengan kecekapan, kos operasi serta undang-undang jalan raya. Ia mungkin kelihatan remeh pada pemandu biasa, tapi pada pengusaha logistik dan pengangkutan aspek ini boleh memberikan keuntungan pada mereka

Apabila lori membawa muatan ringan atau bergerak dalam keadaan kosong, gandar tambahan sebenarnya tidak perlu menyentuh permukaan jalan. Dalam situasi ini, sistem suspensi udara atau hidraulik akan mengangkat gandar tersebut.

Dengan kurang tayar menyentuh jalan, geseran antara permukaan jalan dan tayar (rolling resistance) turut berkurang, sekali gus membantu menjimatkan penggunaan bahan api dan mengurangkan kadar kehausan yang perlu ditanggung oleh komponen mekanikal lori.

Selain itu, mengangkat gandar tayar juga berupaya untuk mengurangkan rolling resistance. Semakin banyak tayar yang menyentuh jalan, semakin besar daya rintangan yang perlu diatasi oleh enjin. Dengan satu atau 2 gandar diangkat, enjin tidak perlu bekerja seperti biasa.

Ini menyebabkan pemanduan menjadi lebih ringan dan penggunaan tenaga lebih efisien. Keadaan ini amat sesuai ketika lori sedang cruising di lebuh raya tanpa muatan penuh atau hanya membawa beban separa penuh.

Dari sudut kos penyelenggaraan, tayar merupakan antara komponen yang paling mahal dan perlu diganti secara berkala untuk memenuhi peraturan jalan raya. Jika tayar tersebut dibiarkan menyentuh jalan tanpa beban sebenar, ia akan mudah haus secara tidak sekata, mengalami kehausan sebelah atau flat spot.

Dengan mengangkat gandar ketika tidak diperlukan, tayar hanya digunakan apabila benar-benar perlu, sekali gus memanjangkan jangka hayatnya dan mengurangkan kos penggantian dalam jangka panjang.

Pengendalian lori juga menjadi lebih baik apabila gandar tambahan diangkat. Terlalu banyak gandar di bahagian belakang akan membesarkan turning radius dan menyukarkan pergerakan di kawasan sempit. Dengan satu gandar diangkat, wheelbase lori akan menjadi lebih pendek dan lori menjadi lebih mudah membelok, lebih senang untuk diundur dan lebih praktikal ketika memasuki kawasan gudang yang sempit

Untuk sesetengah negara, undang-undang jalan raya bukan sahaja mengambil kira jumlah berat keseluruhan lori, tetapi juga berat yang ditanggung oleh setiap gandar. Apabila lori membawa muatan penuh, gandar tambahan perlu diturunkan untuk mengagihkan berat mengikut had yang dibenarkan.

Namun apabila lori kosong atau ringan, tidak semua gandar diwajibkan berada di atas jalan. Oleh itu, sistem angkat gandar membantu lori kekal patuh kepada peraturan dalam pelbagai keadaan operasi.

Menariknya, lori moden hari ini semakin pintar dengan penggunaan sistem auto lift axle. Sistem ini menggunakan sensor berat dan kelajuan untuk menentukan bila gandar perlu diangkat atau diturunkan secara automatik. Tanpa perlu campur tangan pemandu, gandar akan diangkat ketika muatan ringan dan diturunkan semula apabila beban meningkat atau apabila kestabilan tambahan diperlukan pada kelajuan tertentu.

Kesimpulannya, gandar yang diangkat pada lori bukan tanda kerosakan atau reka bentuk pelik. Ia adalah hasil kejuruteraan pintar yang bertujuan meningkatkan kecekapan, menjimatkan kos, memudahkan pemanduan serta memastikan pematuhan undang-undang. Jadi, lain kali apabila ternampak lori dengan tayar tergantung di lebuh raya, anda tahu ia sedang beroperasi dengan cara yang paling optimum.

Google ads
Back to top button