REPLIKA LA FERRARI DARI VIETNAM – SERIUS ABANG BERKENAN DIK (VIDEO)
Model flagship macam La Ferrari ni bukan untuk semua orang hatta pemilik Ferrari lain sekali pun. Nak beli jauh dari mampu bahkan nak tengok dari dekat pun bukan senang sebab ini bukan model besher-besher. Namun itu bukan penghalang untuk sekumpulan anak muda dari Vietnam untuk menghasilkan sebuah replika La Ferrari yang kami rasa cukup wow sekali. Siap ada video pembikinan lagi.
Replika ini merupakan projek terbaharu NHET TV yang sebelum ini banyak menghasilkan replika-replika supercar dan memuatnaik video ke laman Youtube. Kali ini nampaknya kemahiran mereka naik beberapa tahap lagi. Siap ada clay modelling lagi kau.
Supercar tiruan ini dibina menggunakan kerangka besi macam gril rumah korang tu dan diperkemaskan lagi dengan panel badan dari pada gentian kaca. Kalau jenis beli kereta Honda tampal pelekat Nismo sahih tak akan tahu yang kereta ni bukannya La Ferrrari yang sebenar.
Hasil akhirnya memang mampu membuatkan airliur golongan marhaen macam kita ni menitiskan airliur dengan kemasan dua warna dan pintu yang dibuka ke atas. Itu belum termasuk rim lima jejari warna hitam, spoiler belakang boleh laras dan lampu-lampu LED yang berfungsi sepenuhnya (itupun diorang buat sendiri, gila betul).
Bukan setakat elemen luaran, dalaman juga turut direka menyerupai La Ferrari asal. Perhatian mereka memang cukup teliti sebagaimana korang akan lihat dalam video ni.
Cuma kuasanya memang tidak setanding langsung la dengan la Ferrari asal kerana ia diambil daripada Toyota Carina buruk yang lagi uzur daripada kereta Han celup dari China tu. Menariknya enjin ini dipasang pada kedudukan tengah dan kuasa dihantar sepenuhnya ke gandar belakang.
Tetapan suspensinya juga cukup menarik memang dah macam supercar sebenar. Ruang enjinnya juga turut mempunyai pelindung macam model asal dan ekzosnya juga menghasilnya bunyi yang lebih menarik. Siap keluar api kau.
Tonton sahaja video-video ni dan korang akan dapat saksikan langkah-langkah yang diambil mereka untuk menghasilkan replika supercar hibrid ni. Banyak masa dan duit habis sebenarnya ni tapi jauh lebih murah la daripada membeli sebuah La Ferrari asal. Nak servis pun tak mahal ni. Cukai jalan pun murah tapi bertuah la kalau boleh dapat kelulusan untuk kegunaan atas jalan di Malaysia ni.