
SEMUA SUPERCAR INI MAMPU MELEPASI BATASAN 10000 RPM – KALAH TYPE R KITA BEY
Dalam dunia motosikal putaran enjin yang tinggi bukan satu perkara yang pelik. Bagi kereta pula yang menjadi tumpuan semestinya enjin jentera F1 yang mampu mencecah 20,000 rpm! Kereta produksi untuk kegunaan biasa jarang sekali dapat dilihat mampu melepasi 7,00 rpm kecuali model istimewa macam Mazda RX-8 dengan enjin rotary yang mampu mencecah 9,000 rpm. Dengan kata lain bukan senang sebenarnya untuk menghasilkan enjin ICE yang mampu diperah pada rpm tinggi.
Tapi ada je sebenanya yang mampu melepasi batasan 10,000 dan kebanyakannya ialah supercar. Kalau mampu boleh beli untuk merasai sendiri sensasi yang sebelum ini hanya boleh dirasai pelumba professional. Tapi kalau rosak kena la tanggung sendiri.
CZINGER 21C – 11,000 RPM

21C ialah sebuah supercar yang dikeluarkan oleh Czinger, sebuah syarikat kecil yang berpengkalan di California. Dikeluarkan pada tahun 2021, C21 menggunakan enjin 2.88 liter V8 yang digabungkan dengan motor elektrik dan memberikannya kuasa maksima 1,250 hp. Terdapat juga versi 1,350 hp bagi yang mahukan kuasa yang lebih tinggi.
Kelebihan enjin ini ialah ia menggunakan flat-plane crank membolehkan enjin dipacu dengan lebih pantas. Ia meningkatkan kuasa tapi mengurangkan tork maksima. Apa pun pecutan 11,000 rpm mampu membuatkan mulut pemandu lain terlopong macam tu je.
MERCEDES-AMG ONE – 11,000 RPM

Ini adalah model edisi istimewa yang dihasilkan oleh Mercedes untuk membuktikan yang enjin F1 boleh digunakan untuk kereta kegunaan jalan raya. Hanya 275 unit bakal dihasilkan dan produksinya masih lagi berjalan. Tak pasti berapa banyak yang dah disiapkan tapi yang nyata ia mengingatkan kita kepada saudaranya yang terdahulu, CLK GTR.
AMG ONE ini menggunakan enjin 1.6 liter E-turbo hibrid yang mampu menjana 1,049 hp kuasa. Gandingan enjin F1 yang kemudian dibantu oleh tiga motor elektrik dan pengecas turbo elektrik memang kedengaran cukup kompleks. AMG ONE ini mampu mencecah 11,000 rpm sewaktu memecut.
ASTON MARTIN VALKYRIE – 11,100 RPM

Nama Valkyrie itu sendiri yang seolah-olah nama pahlawan silam sudah menunjukkan kehebatan model istimewa keluaran Aston Martin ini. Ia dibina dengan kerjasama pasukan F1 Red Bull menjadikannya kereta jalanan yang cukup tapi masih mempunyai taring untuk mengganas di acara track day. Paling menarik semestinya enjin 6.5 liter V12 yang mampu diperah sehingga 11,100 rpm!
GORDON MURRAY AUTOMOTIVE T.33 – 11,100 RPM

T.33 baharu saja didedahkan tapi hanya akan dilancarkan secara rasmi selepas ini. Kalai dah rekaan Gordon Murray sudah tentu ia bukan calang-calang kereta. Hanya 100 unit model bakal dihasilkan dan ia menggunakan enjin 4.0 liter V12. Memang tak ramai yang akan dapat merasai sendiri pemanduannya.
Menariknya T.33 hanya menggunakan enjin 4.0 liter V12 GMA-Cosworth yang hanya menghasilkan 607 hp. Tidak cukup tinggi bagi sebuah supercar tapi mampu membolehkan kereta ini membuat pecutan 0-100 kmj hanya dalam masa 2.9 saat. Putaran maksima enjin V12 ini ialah 11,100 rpm. Fuh, sambil menaip pun dah rasa berdesing telinga.
GORDON MURRAY AUTOMOTIVE T.50 – 12,100 RPM

Inilah kereta dengan putaran enjin maksima tertinggi tahun ini. Gordon Murray T.50. Sama juga seperti T.33 sebelum ini, hanya 100 unit bakal dihasilkan dan bermakna sekali lagi ramai diantara kita hanya berada dalam kategori mampu tengok.
Ia menggunakan enjin yang sama dengan T.33 tapi diubahsuai sedikit lagi menjadikannya lebih berkuasa sedikit berbanding T.33. T.50 juga mempunyai kipas yang berfungsi menyedut udara bagi membantu meningkatkan ciri aerodinamik sekali gus meningkatkan daya seretan untuk membantu pergerakan di selekoh.
Dengan kelajuan maksima 226 mph enjin kereta ini mampu berputar sehingga ke 12,100 rpm. Aduh kalah teruk Type R jadian jiran abang ni.
Kredit Carbuzz.com