Buletin

ROMBAKAN PENGURUSAN PROTON, ABDUL RASHID KINI KETUAI PROTON EDAR

PROTON hari ini mengumumkan pelantikan Encik Abdul Rashid Musa sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar Sdn Bhd, berkuat kuasa 1 Februari 2017, menggantikan Encik Rohime Shafie.

Rohimie telah ditugaskan ke DRB-HICOM sebagai Ketua Automotif di Bahagian Pengedaran Automotif dan Pembuatan & Kejuruteraan di bawah Dato’ Abdul Harith Abdullah, Ketua Pegawai Operasi, Pengedaran Automotif dan Pembuatan & Kejuruteraan, DRB-HICOM.

Tidak asing kepada industri automotif, Rashid mempunyai pengalaman lebih 27 tahun dalam bidang automotif, dengan penglibatan dalam pelbagai projek dan organisasi automotif.

BACA: PROTON LANCAR SAGA DAN PERSONA DI BRUNEI

Mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Malaya pada tahun 1989, Rashid bukan sahaja terlibat dalam bidang pembuatan, penyelidikan & pembangunan; dan pengurusan, malah beliau juga merupakan seorang yang kuat menyuarakan aspek keselamatan penumpang dan telah mengambil bahagian dalam pelbagai ceramah mendidik tentang keselamatan penumpang dan kepentingan penguatkuasaan kenderaan selamat di negara ini.

Sebelum pelantikan ini, beliau adalah Ketua Pegawai Teknikal PROTON di mana beliau memegang beberapa tugas dan tanggungjawab, termasuk memainkan peranan penting dalam pembangunan empat model baharu pada tahun 2016. Beliau merupakan ahli Lembaga Pengarah di beberapa anak syarikat PROTON dan sebelum ini juga merupakan ketua di beberapa syarikat di bawah kumpulan DRB-HICOM.

PROTON yakin Rashid mampu untuk terus menerajui PESB bagi meneruskan trajektori pertumbuhan dalam meningkatkan penguasaan pasarannya. Rashid akan terus memacu budaya PROTON iaitu “Pelanggan Diutamakan” dalam PESB dengan objektif untuk menyediakan produk dan perkhidmatan yang berkualiti di seluruh rangkaian PROTON di negara ini.

BACA: GEELY BAKAL JADI RAKAN STRATEGIK PROTON

Dengan memanfaatkan latar belakang teknikal beliau, Rashid akan dapat menyumbang ke arah pelan penambahbaikan rangkaian terutama dalam meningkatkan mutu perkhidmatan selepas jualan.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato’ Ahmad Fuaad Kenali mengalu-alukan pelantikan Rashid sebagai ketua baharu PESB dan mengucapkan terima kasih kepada Rohime di atas dedikasi dan komitmen beliau semasa berkhidmat bersama PROTON dan PESB sejak 20 Ogos 2014.

Google ads
Back to top button