Modifikasi

SEMANGAT PERLUMBAAN – HONDA CIVIC FD2 TYPE-R

Jika saya perlu memilih sebuah kereta buatan Jepun untuk dijadikan jentera lumba di litar, dah tentu jawapannya ialah Honda.

Ya, mungkin Nissan lebih hebat dengan GT-R atau Toyota melalui Lexus LFA. Tetapi Honda amat konsisten dalam membina jentera lumba, daripada model hatchback atau saloon normal sejak dahulu lagi.

Bermula dengan Civic SB3 bersama enjin ZC 1,600cc hinggalah Civic FD2 Type-R, Honda berjaya membuktikan kereta saloon keluarga mereka mampu dijadikan kereta lumba menerusi sedikit pengubahsuaian.

BACA: HONDA CIVIC EK9 TYPE-R CONVERT

Bersama teknologi trademark Honda iaitu VTEC, jurutera Honda berjaya menghasilkan enjin kereta bersesaran kecil dengan kuasa kuda yang sangat tinggi. Sehingga kini, Honda masih memegang rekod kuasa kuda tertinggi berbanding sesaran untuk enjin N/A. Apa lagi kalau bukan enjin F20C yang digunakan pada Honda S2000.

Kemuncak teknologi VTEC pada kereta saloon keluaran Honda sudah tentulah enjin K20R yang digunakan pada model Civic Type-R.

Honda Civic Type-R versi FD2 pada mulanya amat mengejutkan ramai peminat kereta. Ini kerana Honda memilih casis saloon berbanding model hatchback pada model sebelumnya (EK9 dan EP3).

Walaupun pasaran Eropah terus mendapat Type-R dengan casis hatchback, Type-R untuk pasaran Jepun menggunakan casis saloon yang memecah tradisi Honda dengan logo R sebelum ini. Agak menarik juga, model itu tidak dieksport secara rasmi ke mana-mana negara lain di luar Jepun kecuali Malaysia, sekali lagi mengejutkan banyak pihak!

BACA: PERLUMBAAN TYPE & HONDA RC213V 360 DARJAH!

Salah satu model Type-R asli itu ialah kereta yang anda boleh lihat sekarang di laman web ini. Model yang dijual secara rasmi oleh Honda Malaysia itu ialah model R pertama (dan harapnya bukan yang terakhir) dijual di Malaysia melalui agen rasmi Honda.

Pemilik misteri Civic ini tak buat banyak pun pada keretanya. Sebab kerja-kerja modifikasi sebenarnya sudah dibuat oleh jurutera Honda dengan kos R&D ribuan juta Yen.

Enjin K20R asal Civic dilancarkan lagi sedutan nafas dan pengeluaran gas ekzosnya. Ini bagi membantu enjin menghasilkan kuasa lebih tinggi, walaupun telinga terpaksa menahan ngauman bingit bunyi VTEC.

Kotak udara asal enjin diganti dengan set kotak udara K&N Typhoon yang datang lengkap bersama ram paip aluminium. Kemudian, sistem ekzos asal Type-R itu diganti dengan set ekzos lengkap J’s Racing. Ia bermula daripada manifold, paip tengah dan berakhir dengan peredam bunyi yang dihasilkan daripada bahan titanium ringan.

Enjin yang mampu menghasilkan 225bhp pada 8,100rpm itu menyalurkan kuasanya ke kotak gear enam kelajuan manual dengan LSD jenis helical yang sememangnya dihasilkan oleh mereka yang arif tentang perlumbaan.

Pertukaran gear dari 1 ke 6 amat kemas dan lancar. Nisbah gearnya juga tepat dengan kuasa yang mampu dijana oleh enjin. Satu resipi yang membuatkan kereta Honda ini mampu bersaing dengan kereta berkuasa turbo jauh lebih berkuasa daripadanya.

Tak percaya? Anda boleh tengok sendiri di Sepang kereta apa di depan dan kereta apa di belakang. Civic ini menggunakan set klac Exedy Racing bagi memantapkan lagi cengkaman klac yang membuatkannya lebih seronok dipandu.

Biarpun lebih besar berbanding Civic dan Integra Type-R yang wujud sebelum ini, percaya atau tidak Civic FD2R hanya 1.8kg lebih berat daripada Integra Type-R DC5 yang bersaiz lebih kecil. Terima kasih kepada penggunaan material aluminium yang ekstensif untuk badan dan casis kereta.

Ini bermakna, Civic itu lebih seronok dipandu. Pada masa yang sama masih boleh memuatkan lima orang dewasa dan bagasi penuh tanpa sebarang masalah. Sistem gantungan Type-R itu langsung tidak diusik langsung kerana pemiliknya berasa  penyerap hentak sedia ada sudah cukup baik. Sesiapa yang pernah naik atau pandu Type-R ini, mesti akan faham.

Turut dikekalkan ialah set brek Brembo 4 pot, pertama kali brek jenama ini dimasukkan untuk model Civic Type-R. Apa yang sedikit pelik ialah pilihan rim dia. Rim asli untuk Civic Type-R ialah rim aloi 18 inci dengan tayar Bridgestone Potenza.

Tetapi pemiliknya menukar rim kepada satu saiz lebih kecik, 17 inci. Rim yang dipilih ialah rim Advan RG II yang disalut dengan tayar Nankang 235/40ZR17. Tayar itu sebenarnya lebih lebar daripada tayar standard Type-R yang bersaiz 225/40 (walaupun mempunyai diameter lebih besar).

Civic Type-R itu boleh dikatakan macam Aaron Aziz untuk kategori kereta sepertinya. Sudah cukup hensem dan tak payah nak modified lebih-lebih sangat. Silap modified, dah elok-elok hensem jadi macam Jason King pula. Pemiliknya cuma menggantikan bonet asal dengan bonet gentian karbon. Selain menambah lips bampar depan, juga daripada gentian karbon.

Di bahagian dalam, segala-galanya masih standard dengan kerusi separa bucket berwarna merah. Di samping stereng asal dengan hiasan gentian karbon yang menyatakan kereta ini bukanlah Civic biasa. Satu-satunya aksesori tambahan yang digunakan ialah trio meter buatan Defi yang memberi bacaan suhu air, suhu pelincir dan tekanan pelincir.

Kereta ini boleh dikatakan amat rare di muka bumi kerana Honda hanya sempat membina 13,000 unit saja sebelum produksinya terpaksa ditamatkan kerana ia tidak dapat melepasi tahap pelepasan asap terbaru di Jepun.

GALERI 

Google ads
Back to top button