
JETOUR G700 DENGAN X MODE, SISTEM 4X4 PINTAR SEMUA KEADAAN MENCABAR
JETOUR memperkenalkan teknologi X Mode pada SUV off-road hibrid plug-in (PHEV) Jetour G700 bagi memudahkan pemandu menghadapi pelbagai keadaan permukaan jalan tanpa perlu bergantung sepenuhnya pada pemilihan mod pemanduan secara manual.
Sistem ini merupakan sebahagian daripada teknologi pacuan empat roda pintar XWD yang dibangunkan untuk meningkatkan keupayaan kenderaan ketika melalui laluan mencabar seperti lumpur, pasir, salji dan permukaan berbatu. Berbeza dengan sistem pacuan 4×4 yang memerlukan pemandu memilih tetapan berdasarkan keadaan laluan, X Mode menawarkan operasi pintar melalui satu sentuhan sahaja
Sistem ini direka untuk mengenal pasti keadaan permukaan dan melaraskan kawalan pacuan serta agihan tork mengikut tahap cengkaman tayar. Pendekatan tersebut bertujuan membantu pemandu mengawal kenderaan dengan lebih mudah ketika berdepan perubahan permukaan secara mendadak.

Sistem XWD turut memantau keadaan gelinciran roda dan mengoptimumkan penghantaran kuasa bagi membantu mengekalkan daya cengkaman. Apabila salah satu roda kehilangan cengkaman, sistem boleh melaraskan agihan tork untuk membantu kenderaan terus bergerak.
Mekanisme kunci pembeza elektronik turut memainkan peranan dalam membantu memulihkan cengkaman ketika melalui permukaan yang tidak sekata. Selain X Mode, sistem tersebut turut menawarkan tujuh mod pemanduan iaitu Eco, Standard, Sport, Snow, Mud, Sand dan Rock.
Setiap mod mempunyai sasaran penggunaan berbeza, daripada pemanduan harian yang mengutamakan kecekapan hingga kepada keadaan off-road yang memerlukan kawalan cengkaman lebih sesuai. Mod Snow direka untuk permukaan bersalji atau licin, manakala Mud, Sand dan Rock masing-masing disediakan untuk laluan berlumpur, berpasir dan berbatu.

Kelebihan X Mode ialah keupayaannya mengurangkan keperluan pemandu membuat pelarasan secara berulang apabila keadaan permukaan berubah. Bagaimanapun keupayaan sebenar masih bergantung pada keadaan laluan, jenis tayar, jarak kelegaan bumi serta kemahiran pemandu mengendalikan kenderaan.
Bagi Jetour G700, teknologi pacuan empat roda pintar ini digabungkan dengan seni bina GAIA yang menyepadukan rangkaian kuasa hibrid dan sistem casis. Antara kelengkapan yang diketengahkan ialah suspensi dengan teknologi redaman berubah secara berterusan (CDC) dan suspensi udara yang boleh melaraskan tahap redaman serta ketinggian kenderaan mengikut keperluan. Gabungan ini bertujuan mengimbangi keupayaan meredah laluan mencabar dengan keselesaan ketika perjalanan jauh.
G700 turut dilengkapi sistem kunci pembeza hadapan dan belakang serta mekanisme kunci tengah elektronik yang membantu meningkatkan keupayaan ketika berdepan keadaan cengkaman tidak sekata. Apabila digunakan bersama sistem XWD, perkakasan tersebut membentuk satu pakej yang menggabungkan kawalan elektronik dengan komponen mekanikal untuk membantu kenderaan melepasi laluan sukar.

Secara keseluruhan, X Mode memperlihatkan bagaimana teknologi elektronik semakin memainkan peranan penting dalam segmen SUV off-road moden. Jika sebelum ini pemanduan di laluan mencabar banyak bergantung pada pengalaman pemandu mengendalikan sistem pacuan empat roda, pendekatan JETOUR menerusi XWD cuba menjadikan proses tersebut lebih mudah diakses oleh pengguna biasa.








