
VOLVO PERKENAL STRATEGI RENDAHKAN KARBON INDUSTRI EV
Volvo Cars bersama China-UK Low Carbon College di bawah Universiti Shanghai Jiao Tong melancarkan laporan pertama di China yang menghuraikan laluan ke arah neutral karbon bagi bahan kenderaan tenaga baharu (NEV), sempena China International Supply Chain Expo (CISCE) keempat.
Laporan tersebut menekankan bahawa kerjasama rantaian bekalan menjadi faktor utama dalam mempercepatkan transformasi hijau industri automotif global.
Dikeluarkan pada 22 Jun lalu, kajian berasaskan data itu bertujuan membantu industri automotif mencapai sasaran karbon berganda China selain memperkukuh pengurusan rantaian bekalan hijau.
Kajian yang mengambil masa setahun itu melibatkan hampir 40 syarikat industri dan menggunakan sedan elektrik penuh Volvo ES90 sebagai model kajian.
Penyelidik menilai pelepasan karbon serta kos di seluruh rantaian nilai, bermula daripada proses perlombongan bahan mentah sehingga pengeluaran kenderaan.
Hasil kajian menunjukkan pelepasan karbon mampu dikurangkan sekitar 10 tan bagi setiap kenderaan tanpa menjejaskan prestasi atau meningkatkan kos pengeluaran secara ketara.
Laporan berkenaan turut mengenal pasti tiga pendekatan utama untuk mencapai sasaran itu, termasuk memperluaskan penggunaan bahan kitar semula, menggantikan bahan konvensional dengan alternatif rendah karbon serta meningkatkan penggunaan tenaga bersih dalam proses pembuatan.
Menurut kajian itu, kira-kira 80 peratus pelepasan karbon industri automotif berpunca daripada rantaian bekalan peringkat huluan, sekali gus menunjukkan usaha penyahkarbonan mendalam tidak boleh digalas pengeluar automotif secara bersendirian.
Bagi menangani cabaran teknologi dan kos dalam peralihan hijau, Volvo turut melancarkan satu pakatan pembangunan mampan industri automotif ketika ekspo tersebut berlangsung.
Inisiatif itu menghimpunkan China Association of Automobile Manufacturers, Universiti Shanghai Jiao Tong serta syarikat daripada pelbagai segmen rantaian bekalan automotif untuk bekerjasama dalam empat bidang utama iaitu penyelidikan bahan rendah karbon, penggunaan semula secara kitaran, pengurangan emisi dan pembangunan rantaian bekalan bertanggungjawab.
Kumpulan pertama rakan kerjasama pakatan itu melibatkan sektor bahan mentah penting automotif seperti bateri kuasa, aluminium, bahan dalaman, keluli dan tembaga.
Volvo memaklumkan beberapa teknologi bahan rendah karbon dan kitar semula yang dipromosikan melalui pakatan itu sudah mula diterapkan dalam model pengeluaran syarikat.
Pengeluar automotif Sweden itu turut menyertai CISCE untuk tahun keempat berturut-turut dengan reruai pameran yang memberi tumpuan kepada aspek kelestarian dan kesihatan.
Ekspo anjuran China Council for the Promotion of International Trade itu berlangsung dari 22 hingga 26 Jun dan merangkumi enam sektor utama termasuk teknologi digital, pembuatan maju, pertanian hijau, kehidupan sihat, kenderaan pintar dan tenaga bersih.
- BACA: SUZUKI e VITARA RASMI DILANCARKAN – 252HP, JARAK GERAK 426KM, HARGA MULA RM188K
- BACA: LAMBO TAYANG URUS BARU LEBIH 800HP. JUTAWAN TIMBANG KILO, JOM PECAHKAN TABUNG
- BACA: EVO BAKAL KEMBALI? BOS BAHARU MITSUBISHI BUKA MULUT…
- BACA: HONDA ELEMENT BAKAL KEMBALI, SUV ‘KOTAK’ IKONIK DIJANGKA MUNCUL SEMULA PADA 2029







